MBSB Research yakin isu aset Wilmar disita mahkamah Rusia kurang beri kesan ke atas PPB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Research yakin isu aset Wilmar disita mahkamah Rusia kurang beri kesan ke atas PPB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 Mei — Tindakan mahkamah Rusia menyita pegangan tidak langsung milik Wilmar International Limited dalam syarikat minyak dan lemak negara itu mencetuskan kebimbangan baharu.


Menurut MBSB Research, situasi itu boleh memberi risiko geopolitik ke atas syarikat berkenaan, sekali gus tempias sentimen kepada PPB Group Berhad yang memiliki sebanyak 18.8% kepentingan dalam Wilmar.


Bagaimanapun, firma itu berpandangan isu tersebut kurang memberi kesan material segera kepada hasil kumpulan tersebut, malah ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM12.20 sesaham.


“Wilmar turut menegaskan kes ini tiada kaitan dengannya dan percaya mahkamah tersilap menganggap syarikat Profit Group sebagai dikawal sepenuhnya oleh Rusagro Group,” katanya dalam nota analisis.


Baru-baru ini mahkamah Rusia mengarahkan penyitaan 24% ekuiti syarikat minyak dan lemak Rusia, JSC Etalon, dikaitkan secara tidak langsung dengan Wilmar menerusi pelaburan dalam Sethal Holdings.


Penyitaan berkenaan ujar MBSB Research, dikaitkan pula dengan dakwaan pelanggaran undang-undang antirasuah yang melibatkan pengasas Rusagro, Vadim Moshkovich, bagi pelbagai aktiviti sebelum 2023.


Firma itu menambah, sebelum Jun 2023, Sethal merupakan syarikat bersekutu tidak langsung dimiliki Wilmar sebanyak 51.8% tetapi berubah selepas Ros Agro China Limited mengambil alih 50% kepentingan.


"Kami difahamkan yang Ros Agro China merupakan sebahagian Rusagro, namun setelah diambil alih separuh pegangan dalam Sethal, kepentingan Wilmar sebenarnya berkurangan kepada 50%," katanya lagi.


MBSB Research berkata, Wilmar turut mendedahkan syarikat itu ada opsyen membeli semula baki 50% ekuiti dalam Sethal serta hak melantik semua pengarah menerusi perjanjian dimeterai pada 2024.


Di samping itu tambahnya, nilai bawaan pelaburan Wilmar dalam Profit Group pada ketika ini mencecah AS$310.9 juta (RM1.22 bilion) berbanding pelaburan asal hanya sebanyak AS$50.6 juta (RM198.9 juta).


Bagaimanapun ujar firma penyelidikan berkenaan, tiada langsung sumbangan keuntungan secara ketara daripada Profit yang pernah direkodkan dalam penyata kewangan Wilmar bagi tahun kewangan 2025.


“Justeru, kami tidak menjangkakan berlaku sebarang impak operasi yang besar atau pendapatan segera kepada PPB akibat tindakan penyitaan oleh pihak Rusia pada peringkat semasa,” kata MBSB Research.


Walaupun begitu, ia mengakui perkembangan tersebut menambah lagi tekanan sentimen terhadap Wilmar yang sebelum ini berdepan dengan beberapa isu kawal selia dan perundangan di peringkat global.


Firma itu namun berkata, Wilmar secara konsisten menegaskan semua tindakannya di negara tersebut dibuat mengikut peraturan semasa serta terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berkaitan.


Oleh itu, MBSB Research mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 sebanyak 93.9 sen dengan penilaian 13 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER). - DagangNews.com