KUALA LUMPUR 19 Dis — MBSB Research mengekalkan pandangan positif terhadap sektor pengguna, dipacu permintaan domestik yang stabil, pasaran buruh kukuh serta persekitaran kos input semakin reda.
Firma penyelidikan tersebut berkata, meskipun pertumbuhan perbelanjaan runcit menunjukkan kadar yang lebih sederhana sepanjang tahun ini, namun situasi dijangka lebih baik menjelang 2026 pula.
Perdagangan runcit Malaysia jelasnya, meningkat 6.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM69.33 bilion pada Oktober 2025, disokong oleh pertumbuhan secara menyeluruh yang merentasi banyak segmen utama.
"Antaranya ialah segmen daripada kedai bukan khusus (+9.1% YoY), makanan, minuman dan tembakau (+6.9%y YoY) serta kedai khusus lain (+5.2% YoY)," kata MBSB Research dalam nota kajiannya hari ini.
Secara bulanan pula tambahnya, jualan runcit berkembang 0.6%, mencerminkan aktiviti pengguna yang lebih mampan, dengan kumulatif pada 10MCY25 mencatat pertumbuhan 6.0% YoY kepada RM672.21 bilion.
Perkembangan positif tersebut jelasnya, menandakan daya tahan perbelanjaan isi rumah, manakala pasaran buruh kekal stabil dengan kadar pengangguran 3.0%, iaitu terendah dalam rekod sedekad.
Pertumbuhan pekerjaan 3.1% YoY terus membantu dengan inflasi pula kekal terkawal apabila indeks harga pengguna (CPI) yang utama cuma 1.3% YoY menyokong kuasa beli dan momentum penggunaan swasta.
"Kami menjangka momentum runcit kekal positif, diperkukuh sokongan fiskal Ekonomi Madani, termasuk peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)," katanya.
Selain itu, MBSB Research menilai kesan limpahan daripada Tahun Melawat Malaysia 2026, dan keadaan pembiayaan lebih baik susulan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) menjadi pemangkin tambahan.
Jelasnya, ketibaan pelancong asing yang meningkat kepada 17.8 juta orang dalam 8MCY25 (+8% YoY), memperkukuh permintaan segmen runcit, makanan dan minuman (F&B) serta perkhidmatan hospitaliti.
Situasi itu menyebabkan peningkatan trafik di lapangan terbang, pusat beli-belah dan destinasi pelancongan dijangka menyokong barangan pengguna, kemudahan runcit serta hidangan yang kasual.
"Harga komoditi utama pula namun terus jatuh, antaranya gula, koko dan minyak sawit, memberikan kelegaan kos kepada pengeluar makanan serta aktiviti pembotolan produk," kata MBSB Research.
Bagaimanapun, harga kopi jenis Arabica kekal tinggi, mengekang kos bagi syarikat berkaitan, dan berdasarkan situasi itu, ia masih mengekalkan beberapa saham sebagai pilihan utama sektor.
Antaranya jelas firma tersebut ialah MR DIY Group (M) Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM2.20), Aeon (beli, TP: RM1.66) dan Leong Hup International (beli, TP: RM0.90)
Tiga syarikat itu menawarkan gabungan pendedahan pasaran massa, aliran pendapatan stabil dan defensif, manakala Life Water kekal saranan 'neutral' dengan TP tidak berubah kepada RM1.37.
"Kebanyakan syarikat dalam sektor pengguna disokong oleh permintaan tinggi berkaitan aktiviti pelancongan padat menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026," tambah firma penyelidikan tersebut.
Secara keseluruhan, MBSB Research berpandangan sektor itu berada pada landasan konstruktif menuju 2026, dipacu permintaan domestik mampan, dan kebolehsuaian operasi pemain industri. - DagangNews.com








