KUALA LUMPUR 5 Mei — Tindakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) keluar daripada Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) kini menjadi ancaman besar kepada kedudukan fiskal Malaysia sendiri.
Menurut MBSB Research, langkah negara itu berisiko menaikkan harga minyak mentah global melebihi
AS$100 (kira-kira RM396) setong susulan konflik geopolitik Timur Tengah yang sudah lama berlarutan.
Tambah firma penyelidikan tersebut, meskipun situasi itu meningkatkan hasil kerajaan tetapi pada masa sama turut menekan subsidi dan risiko inflasi terutama ke atas barangan harian pengguna domestik.
"Setiap kenaikan AS$10 (RM39) setong berpotensi menambah RM3 bilion kepada hasil kerajaan, namun melonjakkan lagi beban subsidi bahan api pula sekitar RM3.5 bilion," katanya dalam nota analisis.
Keadaan itu ujar MBSB Research, mewujudkan tekanan dua hala kepada perbelanjaan negara, walaupun Malaysia sebagai pengeksport bersih minyak dan gas (O&G) meraih manfaat harga tinggi ketika ini.
Jelas firma berkenaan, risiko utama adalah ketidaktentuan melampau harga minyak pada masa depan, termasuk kemungkinan kejatuhan mendadak ke paras AS$40 (RM158) setong jika perang harga tercetus.
Selain itu katanya, keputusan drastic UAE menamatkan keanggotaannya selama 59 tahun dalam OPEC+ berkuat kuasa 1 Mei 2026 menandakan perubahan struktur besar dalam pasaran minyak antarabangsa.
"Langkah ini didorong strategi UAE memaksimumkan kapasiti pengeluaran sehingga 5 juta tong sehari (mbpd) menjelang 2027, berbanding hanya 3 mbpd ketika di bawah kuota OPEC+," kata MBSB Research.
Kesan peningkatan bekalan itu ujarnya, mungkin belum dirasai dalam jangka pendek berikutan sekatan logistik di Selat Hormuz yang mengekang hampir keseluruhan laluan penghantaran minyak utama dunia.

Pasaran tambahnya, lebih memberi tumpuan kepada premium perang berbanding implikasi jangka panjang lebihan stok, dan ketiadaan UAE dalam OPEC+ melemahkan keupayaan kartel itu mengawal harga minyak.
Situasi ini kata MBSB Research, membuka ruang kepada persaingan agresif untuk menguasai bahagian pasaran, dan dalam jangka sederhana, harga minyak dijangka kekal tinggi selagi konflik berterusan.
"Harga berpotensi jatuh apabila laluan perkapalan kembali pulih dan UAE meningkatkan pengeluaran, dengan harga boleh berlegar dalam julat luas AS$50 (RM198) hingga AS$120 (RM475) setong," ujarnya.
Dalam konteks domestik, firma itu memberi amaran inflasi akan meningkat akibat kos logistik dan bahan mentah lebih tinggi, selain gangguan rantaian bekalan menyebabkan kelewatan input industri.
MBSB Research menambah, stok bahan mentah import kemungkinan tertangguh sehingga antara dua hingga empat minggu, manakala risiko defisit fiskal kerajaan melebar jika harga minyak jatuh mendadak.
Bagaimanapun katanya, terdapat peluang daripada aliran pelaburan baharu, termasuk potensi kemasukan dana UAE ke Malaysia dalam sektor pusat data (DC) dan prasarana teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Justeru, kami mengekalkan penarafan 'positif' terhadap sektor O&G tempatan, dengan Dialog Group Berhad dan Hibiscus Petroleum Berhad sebagai pilihan utama untuk diberi perhatian oleh pelabur," jelasnya.
Ujar MBSB Research, Dialog dijangka mendapat manfaat peningkatan permintaan storan minyak jika berlaku lebihan bekalan, manakala Hibiscus meraih kelebihan daripada harga minyak yang tinggi.
Dalam persekitaran harga ekstrem katanya, sama ada melonjak tinggi atau menjunam, syarikat yang mempunyai daya tahan operasi dan kedudukan strategik dalam rantaian nilai akan kekal relevan.
Secara keseluruhan, analisis itu menyimpulkan pengunduran UAE daripada OPEC+ menandakan berakhir era kestabilan harga minyak global, dengan masa depan industri kini dipacu persaingan pasaran. - DagangNews.com








