KUALA LUMPUR 28 April — Tekanan kos yang kembali naik dalam sektor pengeluaran pada Mac 2026 mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan harga barangan pengguna dalam tempoh terdekat.
Justeru, MBSB Research memberi amaran situasi Indeks Harga Pengeluar (PPI) yang bertambah 4.1% bulan ke bulan (MoM) itu memberi isyarat awal kepada risiko inflasi akan naik lebih ketara di negara ini.
Firma penyelidikan tersebut berkata, peningkatan kira-kira 1.1% tahun ke tahun (YoY) berbanding penguncupan 3.4% pada Februari 2026, sekali gus menamatkan trend deflasi selama 12 bulan berturut-turut.
"Lonjakan ini didorong peningkatan kos operasi dan pengeluaran susulan isu kenaikan harga komoditi global, terutama minyak dan bahan mentah, yang dipengaruhi konflik rantau Timur Tengah," katanya.
MBSB Research menambah, perubahan arah PPI apabila meningkat turut mencerminkan tekanan kos yang semakin ketara di peringkat pengeluar sendiri, khususnya dalam sektor tertentu berkaitan tenaga.
Secara sektor pula ujarnya, perlombongan mencatat lonjakan ketara sebanyak 26.5% YoY, berbanding penyusutan 8.5% pada Februari, sekali gus menjadi peningkatan terpantas dalam tempoh empat tahun.
Sementara sektor elektrik dan gas pula jelas firma penyelidikan berkenaan, mencatat inflasi lebih besar pada kadar 9.6%, yang juga merupakan paras paling tinggi pernah direkodkan dalam sejarah.
"Pada masa sama, kami mendapati sektor pertanian dan pembuatan masih lagi mencatatkan penurunan PPI, namun pada kadar yang lebih perlahan," kata MBSB Research lagi dalam nota analisisnya itu.

Tambah firma itu, sekiranya berdasarkan kepada peringkat pengeluaran, harga bahan mentah sudah melonjak sebanyak 9.8% YoY selepas mencatatkan deflasi selama tempoh empat bulan yang sebelumnya.
Dalam pada itu ujarnya, harga barangan perantaraan dan barangan siap didapati masing-masing hanya mencatatkan penurunan yang dinilai sebagai lebih kecil iaitu hanya kira-kira -1.3% dan -0.1%.
Dari segi bulanan jelas MBSB Research, PPI naik 4.1% MoM, paling pantas pernah direkodkan, dipacu oleh lonjakan sektor perlombongan sebanyak 32.9% serta sektor elektrik dan gas iaitu 4.9%.
"Peningkatan mendadak ini sebahagian besar berpunca akibat kenaikan kos bahan berkaitan petroleum, yang turut menyebabkan harga bahan mentah untuk pemprosesan lanjut melonjak 16.4% MoM," katanya.
Sehubungan itu, firma tersebut berpandangan tekanan kos yang naik berpotensi dipindahkan kepada pengguna akhir, terutama jika pengeluar tidak mampu menyerap sepenuhnya peningkatan kos tersebut.
Perkembangan negatif ini ujar MBSB Research, dikhuatiri boleh membawa kepada kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) dalam tempoh yang akan datang, apabila harga barangan itu menjadi semakin mahal.
Ia namun mengekalkan unjuran inflasi pengguna meningkat kepada 2.0% bagi 2026 berbanding 1.4% pada 2025, didorong terutama oleh tekanan dari sudut penawaran, khususnya harga tenaga yang tinggi.
"Caj yang berkaitan dijangka kekal tinggi susulan risiko geopolitik di Timur Tengah dan gangguan bekalan global sekiranya masih berpanjangan," jelas firma penyelidikan itu. - DagangNews.com








