KUALA LUMPUR 2 Sept – MBM Resources Berhad terus berdepan dengan tekanan persaingan semakin sengit di pasaran tempatan susulan kemasukan jenama kenderaan dari China, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan negatif berkenaan dijangka terus menjejaskan jumlah jualan pelbagai modelnya dan margin keuntungan kepada kumpulan itu dalam tempoh yang terdekat.
Selain itu, MBM dalam fasa sukar apabila strategi penetapan harga agresif oleh pemain baharu seperti Jaecoo dan BYD mula merampas bahagian pasaran daripada pengeluar Jepun dan nasional.
"Ini termasuk Perodua yang menyumbang utama kepada hasil kumpulan dan kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran tidak berubah RM4.31 sesaham," kata TA Securities dalam notanya.
MBM tambahnya, mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi pada suku kedua FY25 berikutan sumbangan dividen dan prestasi kukuh daripada pelbagai unit perniagaan dan beberapa syarikat bersekutu.
Bagaimanapun kata firma berkenaan, keuntungan separuh pertama tahun ini pula masih merosot 2.7% tahun ke tahun (YoY), terkesan akibat daripada kelembapan permintaan dalam suku pertama 2025.
Katanya, jualan kenderaan dalam bahagian perdagangan motor susut 4.4% kepada 14,700 unit, yang mencerminkan tekanan pasaran ekoran kehadiran pemain baharu dengan penawaran harga kompetitif.
"Jenama seperti Jaecoo telah meraih 2.9% pegangan pasaran dalam masa yang singkat, diikuti oleh BYD dengan 2.1%, sekali gus memberi tekanan ke atas para pemain tradisional," kata firma tersebut.
TA Securities memberi contoh Honda yang menyaksikan kejatuhan terbesar, dengan penyusutan 2 mata peratusan kepada 8.3%, manakala Perodua kehilangan sebanyak 1.4% daripada bahagian pasaran.
Keadaan ini dijangka menyebabkan margin terus tertekan pada separuh pertama FY25, khususnya dalam segmen perdagangan motor apabila diskaun agresif dan keperluan pelanggan menjejaskan keuntungan.
Tambahnya, MBM namun tetap optimis dengan pelancaran kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua pada tempoh suku keempat tahun ini, dengan sasaran peringkat awal pengeluaran 500 unit setiap bulan.
"Model EV ini dijangka berharga hanya RM80,000 hingga RM100,000 tidak termasuk bateri, yang akan disediakan melalui model sewaan bagi memastikan kos awal kekal mampu milik," kata firma itu.
Pelancaran ini kata TA Securities, diharap dapat memacu pertumbuhan secara jangka panjang kepada MBM, walaupun jumlah awal adalah sederhana disebabkan oleh pelbagai faktor dan risiko margin.
Kumpulan itu turut memberi amaran mengenai ketidaktentuan lanjutan pengecualian cukai EV yang dijangka tamat pada hujung 2025 kerana jika tidak disambung, harga kenderaan ini mungkin naik.
Ia sekali gus menjejaskan momentum jualan tetapi pengurusan MBM tidak menjangkakan lonjakan tempahan sebelum tarikh luput, kerana permintaan bergantung kepada kemampuan kewangan pengguna.
"Ia bukan semata-mata insentif dan kami jangka margin terus ditekan, dengan keperluan mengimbangi jualan volum tinggi dan sumbangan hasil selepas jualan sebagai hasil yang lebih stabil," katanya.
Walaupun strategi kepelbagaian MBM dan kecekapan kos menyokong kelestarian dividen, tetapi persaingan sengit, perubahan pasaran dan tekanan kos dijangka kekal membayangi prestasi kumpulan itu.
Justeru, TA Securities kekal berhati-hati terhadap prospek pendapatan MBM kerana volum industri semakin mendatar dan persaingan di pasaran terus menekan margin. - DagangNews.com








