KUALA LUMPUR 20 Ogos – Pemaju hartanah, MB World Group Berad, menerusi anak syarikatnya, Rising Gateway Sdn Bhd melancarkan projek perbandaran perindustrian berat berkeluasan 296.2 hektar.
Kumpulan tersebut berkata, projek terkini yang dikenali sebagai MBW Innexus Industrial City itu terletak di Tanjung Langsat, Johor Bahru dalam liputan kawasan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Katanya, projek berstatus pegangan bebas dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM2.03 bilion itu, sekali gus menjadikannya antara projek perindustrian swasta yang paling besar di selatan tanah air.
"Ini merupakan pembangunan strategik yang bakal menjadi nadi baharu kepada prospek pertumbuhan sektor perindustrian berat dan logistik terutamanya di wilayah JS-SEZ," kata MB World dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, projek MBW Innexus seiring dengan peluang potensi pelaburan yang semakin meningkat hasil daripada kerjasama ekonomi erat antara pihak kerajaan Johor dan Singapura sejak sekian lama.
Lokasi katanya, juga strategik hanya enam kilometer (km) dari Pelabuhan Tanjung Langsat, 14km dari Pelabuhan Johor, serta mudah diakses dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Changi, Singapura.
Projek ini terletak dalam kawasan JS-SEZ dirujuk sebagai Flagship D (Tanjung Langsat-Kong Kong), yang dirangka untuk menarik pelabur dalam sektor pembuatan, industri berat dan sederhana, serta logistik.
"MBW Innexus menawarkan pelbagai lot tanah industri berat dalam saiz yang fleksibel, lengkap dengan rangkaian infrastruktur, reka bentuk susun atur yang efisien, kemudahan penginapan pekerja," katanya.
Pelbagai kemudahan turut akan disediakan MB World selain menerima sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta beberapa institusi perbankan.
Katanya, dengan status tanah sebagai pegangan bebas dan perancangan secara menyeluruh, MBW Innexus dijangka mampu menyediakan persekitaran operasi yang stabil, cekap dan bersifat jangka panjang.
Kumpulan itu menambah, ia dijangka menjadi pemangkin kepada penciptaan banyak peluang pekerjaan, pembangunan rantaian bekalan dan pengukuhan kerjasama rentas sempadan dalam ekosistem industri.
"Kami yakin projek ini menarik pelabur tempatan dan asing serta menyifatkan pelancaran ini sebagai sebahagian daripada komitmen kumpulan untuk menyokong pertumbuhan industri berat negara," katanya.
Selain itu tanpa dinyatakan harga unit dijual, MBW Innexus dibangunkan secara berfasa dalam tempoh beberapa tahun, dan syarikat kini sedang mempromosikan fasa pertama kepada pelabur yang berminat.
MB World setakat ini sudah berjaya menyiapkan lebih 5,000 unit hartanah dengan GDV sebanyak RM2.7 bilion meliputi sejumlah 16 projek di Johor, Melaka dan Pulau Pinang. - DagangNews.com








