Maybulk rugi RM53 juta pada suku pertama akibat kesan tukaran mata wang selepas tutup anak syarikat luar negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybulk rugi RM53 juta pada suku pertama akibat kesan tukaran mata wang selepas tutup anak syarikat luar negara

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Mei – Maybulk Bhd mencatat kerugian bersih RM52.92 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding keuntungan RM3.16 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, menunjukkan prestasi kewangan yang lebih lemah pada awal tahun ini.

 

Bagaimanapun, syarikat itu menjelaskan kerugian tersebut bukan berpunca sepenuhnya daripada operasi perniagaan, sebaliknya dipengaruhi oleh satu pelarasan perakaunan besar.

 

“Ini susulan kerugian terjemahan mata wang asing berjumlah RM54.03 juta yang terjadi selepas pembubaran sebuah anak syarikat luar negara. Kesan ini sebelum ini direkodkan dalam rizab terjemahan mata wang asing, namun kini diambil kira dalam untung rugi selepas proses pembubaran selesai.

 

“Namun, kesan tersebut tidak melibatkan aliran tunai sebenar, sebaliknya hanya pelarasan perakaunan.

 

“Jika faktor pembubaran anak syarikat dan kerugian forex tidak diambil kira, kumpulan sebenarnya masih mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM660,000 bagi suku tersebut,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Dari segi hasil, pendapatan Maybulk susut 15 peratus kepada RM18.19 juta berbanding RM21.46 juta pada tempoh sama tahun lalu, dipengaruhi terutamanya oleh prestasi segmen penyimpanan dan rak (shelving & storage).

 

Segmen tersebut mencatat penurunan ketara sebanyak 34.5 peratus kepada RM9.51 juta, berikutan permintaan yang lebih lemah serta tekanan harga susulan persaingan daripada pesaing luar negara.

 

Sementara itu, segmen perkapalan pukal mencatat sedikit peningkatan hasil kepada RM8.68 juta, disokong oleh kenaikan kadar sewaan kapal purata sebanyak 26 peratus, walaupun sebahagiannya terkesan oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

 

Maybulk turut memaklumkan kapal utamanya, Alam Kuasa dijangka terus menyumbang pendapatan stabil pada 2026 kerana beroperasi di bawah kontrak jangka panjang dengan kadar sewaan tetap yang diselaraskan mengikut harga bahan api kapal.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu terus berhati hati kerana ketegangan geopolitik di Asia Barat boleh meningkatkan kos bahan api dan operasi, walaupun sebahagian kos tambahan itu boleh dipindahkan kepada pelanggan.

 

Dalam masa sama, segmen rak dan penyimpanan dijangka kekal stabil dari segi permintaan domestik, namun masih berdepan tekanan harga akibat persaingan sengit. Di pasaran luar, konflik serantau turut berpotensi menjejaskan jumlah eksport berikutan kenaikan kos pengangkutan dan logistik.- DagangNews.com