Maybank pacu inovasi pasaran kewangan domestik, dilantik pengurus utama sukuk bertoken pertama Malaysia bernilai RM100 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank pacu inovasi pasaran kewangan domestik, dilantik pengurus utama sukuk bertoken pertama Malaysia bernilai RM100 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 April - Malayan Banking Bhd (Maybank) memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek perintis sukuk bertoken pertama Malaysia yang diterbitkan oleh Khazanah Nasional Berhad dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Maybank bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama, kustodian serta pelanggan utama bagi terbitan bernilai RM100 juta itu, yang dilihat sebagai langkah penting dalam memacu inovasi pasaran kewangan di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam global.

 

Terbitan tersebut merupakan sebahagian daripada Program Sukuk Danum Khazanah, iaitu program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) sehingga RM20 bilion yang berlandaskan prinsip Syariah Wakalah bi al-Istithmar.

 

Menurut Maybank, inisiatif itu bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam pengumpulan dana, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pasaran modal Islam.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, projek perintis tersebut selaras dengan aspirasi ROAR30 bank itu untuk memperkasa ekonomi sebenar melalui rumusan kewangan inovatif.

 

“Penerbit kini mempunyai alternatif pembiayaan yang lebih pelbagai, manakala pelabur mendapat akses lebih luas melalui konsep pecahan pelaburan serta transaksi yang lebih lancar tanpa halangan,” katanya.

 

Beliau menambah, Maybank komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak pengawal selia serta pelanggan di Malaysia dan rantau ASEAN bagi memperluaskan penggunaan teknologi tokenisasi, tertakluk kepada kesediaan rangka kerja kawal selia.

 

Kerjasama bersama Khazanah dan SC ini menyusul selepas kejayaan Maybank melaksanakan projek perintis sulungnya bersama Yinson Holdings Berhad pada 25 Mac 2026, melibatkan penukaran pertukaran asing secara rantaian (on-chain) daripada Ringgit Malaysia kepada Dolar Singapura.

 

Penukaran pertukaran asing itu membabitkan penghantaran pembayaran rentas sempadan hampir masa nyata melalui rantaian blok berizin miliknya. - DagangNews.com