Maybank lantik Mohamad Yasin sebagai CEO Kumpulan Perbankan Islam berkuat kuasa 1 Oktober 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank lantik Mohamad Yasin sebagai CEO Kumpulan Perbankan Islam berkuat kuasa 1 Oktober 2025

MOHAMAD YASIN ABDULLAH
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 SeptMalayan Banking Berhad mengumumkan pelantikan dua tokoh kanan dalam barisan kepimpinannya, selaras dengan strategi pengukuhan kepimpinan dalaman kumpulan perbankan itu.


Mohamad Yasin Abdullah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perbankan Islam dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad berkuat kuasa 1 Oktober 2025.


Beliau menggantikan Malique Firdauz Ahmad Sidique yang akan mengambil alih peranan sebagai Ketua Eksekutif Audit Kumpulan (GCAE) baharu.


Mohamad Yasin, 52, akan memacu aspirasi Maybank untuk menjadi peneraju global dalam kewangan Islam, termasuk menerajui strategi perniagaan, inovasi produk, pematuhan Syariah serta pengurusan risiko bagi seluruh segmen perbankan Islam kumpulan.


“Beliau akan melapor terus kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank serta menyertai barisan Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan,” kata kenyataan itu.


Mohamad Yasin sebelum ini mengetuai fungsi Audit Kumpulan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan Pelan Strategik Audit Kumpulan Maybank 2023–2025 (GRASP25), yang mengukuhkan keupayaan audit dalaman melalui adaptasi amalan terbaik global.


Berpengalaman lebih 28 tahun dalam sektor perbankan dan kewangan, beliau memulakan kerjaya di Maybank pada 1997, dan pernah memegang pelbagai jawatan kanan termasuk CFO, COO dan CEO-International di Maybank Investment Banking Group (MIBG). 


Selain itu, beliau juga pernah menjadi CFO di luar kumpulan sebelum kembali ke Maybank pada 2010.


Mohamad Yasin merupakan ahli profesional bertauliah dalam bidang perakaunan dan perbankan Islam, termasuk sebagai Chartered Banker dengan Asian Institute of Chartered Bankers dan Fellow kepada ACCA, CIMA dan MICPA. 


Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan MBA Kewangan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Mengisi kekosongan ditinggalkan Mohamad Yasin, Maybank turut melantik Malique Firdauz sebagai Ketua Eksekutif Audit Kumpulan berkuat kuasa tarikh yang sama.

maybank
MALIQUE FIRDAUZ AHMAD SIDIQUE

 

Malique Firdauz, 47, akan melapor secara fungsian kepada Jawatankuasa Audit Lembaga Pengarah serta secara pentadbiran kepada Presiden dan CEO Kumpulan Maybank. 


Pelantikan ini menyaksikan beliau kembali memimpin fungsi audit selepas mengetuai segmen Perbankan Islam Maybank sejak Ogos 2025.


Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan memiliki pengalaman luas dalam kewangan, tadbir urus dan operasi perbankan.


“Beliau akan menerajui kesinambungan transformasi Audit Kumpulan berasaskan GRASP25 serta memacu nilai strategik menerusi kawalan dalaman yang mantap dan daya tahan organisasi,” kata Maybank.


Memulakan kerjaya di United Kingdom selama sedekad, Malique Firdauz menyertai Maybank pada 2012 dan menggalas pelbagai peranan strategik termasuk CFO Maybank Investment Bank, CFO Perbankan Islam, serta Ketua Laporan Prestasi Kumpulan.


Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Perakaunan dan Kewangan dari London School of Economics dan Fellow Chartered Accountant dengan ICAEW. 


Malique Firdauz turut memiliki pengiktirafan dari Columbia Business School serta merupakan jurubank yang bertauliah.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, pelantikan ini mencerminkan kejayaan strategi pengurusan bakat dalaman yang digariskan kumpulan.


“Ini memperkukuh kapasiti dalaman dan mempertingkatkan keupayaan pasukan kepimpinan tertinggi kami, dengan gabungan pengalaman serta kepakaran yang saling melengkapi untuk terus memacu pertumbuhan strategik kumpulan,” katanya.


Maybank ketika ini merupakan antara institusi perbankan terkemuka di ASEAN dengan aspirasi berterusan untuk mengekalkan kedudukan sebagai peneraju perbankan mampan dan inovatif di rantau ini. - DagangNews.com