Maybank lantik Chua Bee Geok sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan baharu berkuat kuasa 1 April 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank lantik Chua Bee Geok sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan baharu berkuat kuasa 1 April 2026

Chua Bee Geok
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb – Maybank mengumumkan pelantikan Chua Bee Geok sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan berkuat kuasa 1 April 2026. 

 

Bee Geok, 53 akan menerajui operasi Kumpulan secara menyeluruh merangkumi perdagangan, perbendaharaan dan pembayaran, dengan fokus memperkukuh pengalaman pelanggan serta menyokong pertumbuhan perniagaan di seluruh ASEAN, termasuk dalam pengurusan kekayaan, pembayaran, perbankan transaksi serta perbankan korporat dan pelaburan.

 

Beliau akan melapor kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank serta menyertai Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan. 

 

Maybank dalam satu kenyataan memaklumkan Bee Geok akan menggantikan Alan Lau Chee Kheong, yang akan bersara selepas berkhidmat selama 43 tahun bersama Maybank.

 

“Bee Geok mempunyai lebih daripada 25 tahun pengalaman dalam industri perbankan, merangkumi bidang kewangan, pengurusan risiko, operasi dan transformasi.

 

“Sepanjang lebih sedekad bersama Maybank, beliau telah menerajui pelbagai program berskala besar yang memberi impak signifikan dalam meningkatkan ketahanan serta keupayaan operasi Kumpulan. 

 

“Pengalaman beliau juga merangkumi usaha transformasi perbankan menyeluruh di bawah strategi M25+, selain mengetuai pelaksanaan penyelesaian perdagangan digital merentas beberapa negara melibatkan Malaysia, Singapura dan Indonesia, yang telah berjaya meningkatkan pengalaman pelanggan serta memperkemas proses operasi,” kata Maybank dalam kenyataan tersebut.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Sri Khairussaleh Ramli berkata pelantikan ini mencerminkan keberkesanan perancangan penggantian dalaman serta dasar pengurusan bakat Maybank dalam memperkukuh kepimpinan organisasi.

 

“Pengalaman luas Bee Geok akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh operasi Kumpulan selaras dengan strategi ROAR30. 

 

“Beliau juga akan terus menerajui transformasi operasi cawangan di Malaysia serta proses usaha wajar pelanggan, selain menyelia perpindahan ke ibu pejabat baharu Maybank,” katanya.

 

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Alan atas komitmen berterusan dan sumbangan besarnya sepanjang tempoh perkhidmatan dalam memperkukuh kedudukan Maybank sebagai institusi perbankan terkemuka di ASEAN.

 

“Di bawah kepimpinan Alan, pelbagai inisiatif strategik telah dilaksanakan bagi mengukuhkan ketahanan operasi, meningkatkan tahap perkhidmatan dann menyokong aspirasi pertumbuhan Bank. 

 

“Usaha-usaha ini turut menyaksikan peningkatan ketara dari segi kebolehpercayaan operasi, pengalaman pelanggan serta kecekapan kos di peringkat Kumpulan,” katanya. - DagangNews.com