Maybank IB naikkan unjuran hasil Bermaz Auto kepada 56% bagi FY26, didorong perluasan model Mazda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB naikkan unjuran hasil Bermaz Auto kepada 56% bagi FY26, didorong perluasan model Mazda

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 JanMaybank Investment Bank menaikkan unjuran hasil Bermaz Auto Berhad bagi tahun kewangan 2026 sebanyak 56%, didorong oleh faktor perluasan rangkaian model Mazda di pasaran.


Sehubungan perkembangan positif itu, firma penyelidikan tersebut menyifatkan unjuran berkenaan menandakan momentum trend pemulihan jualan dan margin kumpulan pengedaran yang semakin kukuh.


Seiring itu, ia turut menaik taraf penarafan syarikat tersebut kepada 'beli' daripada 'pegang', sambil meningkatkan harga sasaran (TP) sesahamnya kepada 86 sen berbanding hanya 68 sen sebelum ini.


"Penilaian ini turut dikembalikan kepada kaedah nisbah harga kepada pendapatan (PER) pada unjuran 10 kali FY27, selari dengan jangkaan pemulihan prestasi kewangan," kata Maybank IB dalam notanya.


Firma berkenaan menekankan isu pemulihan Bermaz Auto disokong oleh Mazda menerusi pelancaran model CX-60 dan Mazda 3 varian baharu 1.5cc spesifikasi penuh pada September dan Oktober 2025. 


Tambahnya, dua model ini menerima sambutan baik dengan tempahan masing-masing sekitar 300 unit dan 2,000 unit, sekali gus meningkatkan jumlah tempahan Mazda Malaysia kepada kira-kira 3,000 unit.


Kumpulan itu juga kata Maybank IB, merancang memperluaskan tawaran Mazda dalam semua segmen, termasuk pelancaran CX-80 PHEV, CX-5 baharu import penuh (CBU) pada suku kedua FY27.


"Bermaz Auto juga berhasrat melancarkan SUV sub-kompak segmen-B pemasangan tempatan (CKD) menjelang FY28, dengan campuran kenderaan ini dijangka memberi kesan positif," jelas firma itu lagi.


Ia merujuk data kumpulan berkenaan setakat ini yang melaporkan peningkatan jualan kepada sekitar 70%, disokong oleh faktor pengukuhan ringgit apabila memberi penampan kepada margin keuntungan.


Dari segi pulangan kepada pemegang saham pula, Maybank IB menilai keterlihatan dividen adalah kekal kukuh, dengan Mazda Malaysia dijangka membayar dividen separuh tahunan yang diunjur lebih baik.


Firma itu turut menilai potensi dividen khas sekiranya kira-kira RM130 juta tunai daripada Bermaz Auto Philippines dapat dibawa pulang, yang diramal berpotensi memberi hasil antara 6% hingga 10%.


"Kami percaya jualan sudah melepasi paras terendah, dengan baki tempahan kekal kukuh melebihi 3,400 unit, dan jualan Mazda pulih iaitu lebih 1,000 unit sebulan pada dua bulan terakhir 2025," katanya.


Justeru, Maybank IB melihat pelancaran model baharu Mazda dan XPeng dijangka menyokong sasaran jualan 17,000 unit bagi FY27, meningkat kira-kira 16% tahun ke tahun (YoY). - DagangNews.com