Maybank IB mulakan liputan ke atas Pekat, saran ‘beli’ didorong kedudukan kukuh rantaian nilai tenaga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB mulakan liputan ke atas Pekat, saran ‘beli’ didorong kedudukan kukuh rantaian nilai tenaga

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 JanMaybank Investment Bank memulakan liputan terhadap Pekat Group Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) selama 12 bulan akan datang mencecah RM1.98 sesaham.


Menurut firma penyelidikan tersebut, perkembangan berkenaan didorong oleh kedudukan kukuh kumpulan itu dalam rantaian nilai tenaga, khususnya tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pengagihan tenaga.


Penilaian ini juga katanya, berdasarkan unjuran 25 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 2026 bagi perniagaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar syarikat tersebut.


"Kami turut menilai anggaran 20 kali P/E 2026 bagi segmen sokongan elektrik voltan rendah (ELP) dan pengagihan tenaga, selari purata penilaian rakan setara tempatan," kata Maybank IB dalam notanya.


Firma itu menyatakan Pekat berada pada kedudukan strategik dalam ruang RE, dipacu oleh pengembangan dalam segmen solar fotovoltaik (PV) sektor komersial dan industri (C&I) serta bumbung kediaman.


Bahagian ini jelasnya, menawarkan margin keuntungan lebih baik, manakala semakan struktur tarif Tenaga Nasional Berhad (TNB) baru-baru ini turut mempercepatkan model penggunaan secara gabungan.


Antaranya tambah Maybank IB, solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dalam segmen C&I, manakala pengenalan inisiatif Solar ATAP dijangka merangsang semula permintaan bagi kediaman.


"Dalam masa sama, Pekat kekal selektif menyertai projek solar berskala besar (LSS) utiliti bagi merebut peluang tambahan daripada LSS5+, LSS6 dan skim bekalan RE korporat (CRESS)," katanya.


Jelas firma penyelidikan itu, dominasi kumpulan tersebut dengan lebih 50% pegangan pasaran dalam pasaran ELP tempatan, meletakkannya pada kedudukan baik memanfaatkan banyak projek pusat data (DC).


Lebih banyak kontrak baharu kata Maybank IB, memasuki fasa pemasangan mekanikal dan elektrikal (M&E) antara 2026 hingga 2027, selain pemerolehan tender menerusi EPE Switchgear (M) Sdn Bhd.


Anak syarikat itu dijangka menjadi pemacu utama hasil, menyumbang antara 26% hingga 35% pendapatan kumpulan bagi tempoh 2025 hingga 2027, disokong pegangan 40% pasaran dalam kalangan pembekal TNB.


"Dari segi kewangan, kami mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) untuk tiga tahun sebanyak 45% sehingga 2027, disokong oleh buku tempahan kukuh kira-kira RM745.6 juta," jelasnya.


Maybank IB menambah, angka tersebut bersamaan 2.6 kali hasil Pekat pada 2024, selain pengembangan margin hasil leveraj operasi dan sumbangan lebih tinggi daripada segmen pengagihan tenaganya.


Secara keseluruhan, ia berpandangan syarikat ini berada pada pertumbuhan kukuh untuk memanfaatkan landskap tenaga Malaysia yang sedang berkembang. - DagangNews.com