KUALA LUMPUR 24 Dis – Langkah Solarvest Holdings Berhad memperoleh pegangan dalam perniagaan kecekapan tenaga dilihat lebih bersifat strategik jangka panjang, menurut Maybank Investment Bank.
Firma penyelidikan tersebut menilai langkah berkenaan memberi kesan pendapatan jangka terdekat yang terhad, namun mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran masih lagi RM3.67 sesaham.
Unjuran tersebut katanya, berasaskan penilaian jumlah bahagian (SOTP), mengambil kira potensi sinergi operasi dan kedudukan kukuh kumpulan itu dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE).
"Solarvest sudah memperoleh 22% ekuiti dalam Solar District Cooling Group (SDCG), sebuah syarikat tersenarai di Pasaran ACE, pada harga RM41.96 juta," kata Maybank IB dalam notanya hari ini.
Perolehan tersebut jelas firma itu, melalui transaksi perniagaan langsung yang dimuktamadkan pada 23 Disember 2025, dengan menilai SDCG terlibat dalam penyediaan rumusan kecekapan tenaga (EE).
Ini menurutnya, termasuk sistem pengurusan bangunan (BMS), sistem solar terma serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E), dengan pelanggannya terdiri daripada pelbagai segmen berbeza.
Antaranya bangunan komersial bertingkat tinggi, sektor kerajaan dan industri, termasuk pusat data, dengan pelaburan strategik ini membuka laluan kepada Solarvest untuk memasuki segmen EE pula.
"Usaha ini membolehkan kumpulan berkenaan dapat menjual silang rumusan EE ditawarkan SDCG kepada pangkalan pelanggan komersial dan industri (C&I) yang sedia ada," tambah firma penyelidikan itu.
Bagaimanapun Maybank IB menilai kesan kewangan pemerolehan ini terhad dalam jangka pendek kerana berdasarkan kepentingan bersekutu, sumbangan keuntungan kepada Solarvest diunjur RM2 juta setahun.
Ia kira-kira 1% daripada unjuran pendapatan Solarvest bagi FY26 hingga FY28, tetapi ia mengekalkan unjuran pendapatan Solarvest kerana kesan peningkatan hasil dijangka minimum dalam masa terdekat.
Firma itu menegaskan pandangan neutral terhadap transaksi ini, walaupun potensi sinergi operasi dinilai masih wujud, memandangkan pemerolehan dilaksanakan pada tahap penilaian yang tinggi.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan yang mencerminkan penilaian sekitar 31 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) pada FY27 dengan saham Solarvest kekal menarik untuk pelaburan," jelasnya.
Maybank IB namun memberi amaran risiko kelewatan atau kegagalan merealisasikan sinergi dengan SDCG, serta tekanan margin akibat kos pelaksanaan projek EE dan M&E boleh menjejaskan Solarvest. - DagangNews.com








