KUALA LUMPUR 7 April – Maxis Berhad melaksanakan langkah proaktif bagi melindungi pengguna daripada ancaman digital yang semakin kompleks dengan membangunkan papan pemuka pengesanan BTS palsu untuk meningkatkan keselamatan rangkaian dan mengurangkan risiko penipuan.
BTS palsu merujuk kepada stesen pemancar pangkalan haram yang meniru menara rangkaian sah. Telefon mudah alih yang bersambung ke BTS palsu berisiko menerima SMS penipuan atau mengalami gangguan perkhidmatan setempat.
Platform pengesanan ini menggunakan analitik data termaju untuk memantau dan mengenal pasti sebarang anomali rangkaian secara berterusan. Ia direka agar adaptif, membolehkan pengesanan teknik penipuan yang baharu dan sentiasa berubah.
Dengan sistem ini, Maxis dapat membezakan isu rangkaian rutin daripada aktiviti berniat jahat. Maklumat yang diperoleh turut menyokong tindakan pihak pengawal selia dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk bertindak pantas.
Pengiktirafan usaha ini diterima melalui Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia (MTEA) 2026, di mana Maxis memenangi kategori Digital – Telekomunikasi bagi papan pemuka pengesanan BTS palsu. Majlis penyampaian anugerah diadakan pada 2 April di Kuala Lumpur.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyambut baik inisiatif Maxis dan menegaskan bahawa inovasi yang diterajui industri sangat penting dalam membendung ancaman digital baharu.

Keupayaan pemantauan rangkaian yang dipertingkatkan membolehkan pengesanan pemancaran haram dijalankan dengan lebih cepat. Tindakan penguatkuasaan juga dapat dijalankan dengan lebih berkesan, sekaligus memperkukuh perlindungan untuk rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Rangkaian Maxis, Yap Chee Sun berkata landskap ancaman sentiasa berubah, dan pendekatan keselamatan rangkaian syarikat mesti seiring dengan perkembangan itu.
“Keupayaan dalaman ini membolehkan Maxis bertindak balas dengan pantas dan menyokong tindakan penguatkuasaan SKMM dan pihak berkuasa lain.
“Pelaksanaan papan pemuka ini melengkapkan inisiatif Maxis untuk memperkukuh keselamatan rangkaian sedia ada selain kerjasama dengan pihak berkuasa menjadi sebahagian daripada usaha nasional membanteras penipuan digital,” katanya.
Maxis menyediakan rangkaian mudah alih dan fiber optik yang pantas, boleh dipercayai dan selamat, dengan liputan melebihi 95% penduduk. Syarikat juga memperkasa rakyat dan perniagaan melalui penyelesaian digital dan ketersambungan bersepadu.
Dengan komitmen berterusan terhadap keselamatan rangkaian dan inovasi teknologi, Maxis menegaskan peranan utama mereka dalam memastikan pengguna dapat terus berhubung dengan lebih selamat dan yakin. - DagangNews.com








