KUALA LUMPUR 30 Sept – Matrix Concepts Holdings Berhad merasmikan sebuah projek kediaman butik mewah sulungnya di Melbourne, Australia yang juga dikenali sebagai 333 St Kilda.
Projek berstatus pembangunan bercampur itu dibina anak syarikatnya Matrix Development (Australia) Pty Ltd, yang merangkumi 78 unit kediaman butik dan tiga lot runcit di tingkat bawah.
Bangunan yang didirikan di atas tanah berkeluasan 2,000 meter persegi itu terletak di 333 St Kilda Road, dengan jarak hanya tujuh kilometer dari Daerah Perniagaan Pusat (CBD) Melbourne.
"Premis ini dilengkapi dua aras tempat letak kereta bawah tanah dengan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik serta pelbagai kemudahan eksklusif," kata kenyataan Matrix Concepts.
Ini tambahnya, termasuk gimnasium moden, bilik media dan persidangan video, dapur makan peribadi dan teres barbeku atas bumbung dengan pemandangan menarik menghadap Port Phillip Bay.
Majlis perasmian projek berkenaan diadakan dalam satu acara istimewa di teres penthouse kecil bangunan tersebut yang dihadiri sendiri oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Turut serta, pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock, serta wakil firma seni bina Rothelowman Architects dan kontraktor utama, Balmain & Co.
Menurut beliau, projek ini menghadapi pelbagai cabaran termasuk sekatan pergerakan akibat pandemik, kenaikan kos pembinaan, kadar faedah yang meningkat serta cukai tambahan.
Bagaimanapun jelasnya, pasukan projek tersebut berjaya menyiapkan pembangunan hartanah itu dalam lima bulan lebih awal daripada jadual asal dengan kualiti premium dan kemudahan moden.
“Ini turut membuktikan komitmen Matrix mengekalkan standard pembinaan tinggi serta penghantaran tepat pada masa. Kami juga terbuka meneroka kerjasama masa depan bersama Balmain & Co,” kata Tian Hock.
Sejak syarikat itu menembusi pasaran Australia pada 2015 menerusi projek apartmen butik di Carnegie dan pembangunan tanah di Greenvale, Matrix Concepts terus mengukuhkan kedudukan di Greater Melbourne.
333 St Kilda merupakan projek hartanah ketiga syarikat itu yang berjaya disiapkan di bandar tersebut dan ia turut merancang untuk meneroka pembangunan baharu di CBD Melbourne.
Langkah berkenaan jelas kenyataan Matrix Concepts, termasuk pelaburan jangka panjang dalam sektor perhotelan, penginapan pelajar dan kediaman bersama. - DagangNews.com








