KUALA LUMPUR 2 Okt – Matrix Concepts Holdings Berhad melengkapkan pemindahan sebanyak 10 juta unit saham biasa antara dua pengarah syarikatnya, selaras dengan Seksyen 219 Akta Syarikat 2016.
Langkah itu melibatkan Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Lee Tian Hock kepada anaknya, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Kelvin Lee Chin Chuan pada 30 September 2025.
Usaha pemindahan berkenaan menurut syarikat itu lagi, selesai dilaksanakan melalui RHB Nominees (Tempatan) Sdn Bhd di bawah RHB Asset Management, tanpa ada sebarang pertimbangan kewangan.
"Pegangan saham Chin Chuan meningkat kepada 26.34 juta unit (1.403%) secara langsung dan 3 juta unit (0.160%) secara tidak langsung," kata Matrix Concepts dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Berikutan perkara tersebut jelas kumpulan pemaju hartanah itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 29.34 juta unit saham berkenaan daripada Tian Hock untuk kini dipegang pula oleh Chin Chuan
Matrix Concepts menegaskan pemindahan ini merupakan langkah dalaman antara pengarah dan tidak memberi kesan kepada hala tuju strategik, struktur tadbir urus atau kesinambungan operasi.
Selain itu tambah kenyataan berkenaan lagi, Lembaga Pengarah menekankan yang kedua-dua pengarah masih kekal memainkan peranan penting masing-masing dalam menerajui pertumbuhan syarikat.
"Kelvin akan menyumbang kepada usaha memacu fasa pembangunan seterusnya selaras dengan semangat baharu dalam merealisasikan visi pertumbuhan dan inovasi,” jelas syarikat tersebut.
Matrix Concepts turut memberi jaminan yang pihaknya terus komited terhadap ketelusan dan pematuhan peraturan selaras dengan keperluan penyenaraian Bursa Malaysia. - DagangNews.com








