Matrix Concepts jual tanah industri di MVV City kepada Golog, perkukuh hab logistik bersepadu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Matrix Concepts jual tanah industri di MVV City kepada Golog, perkukuh hab logistik bersepadu

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Mei - Matrix Concepts Holdings Bhd terus memperkukuh pembangunan ekosistem industri di MVV City menerusi penjualan tanah perindustrian kepada firma logistik Golog Holdings Ltd, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan kawasan itu sebagai hab industri dan logistik bersepadu di bawah Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).

 

Dalam satu kenyataan, Matrix Concepts berkata kerjasama itu mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk menarik pemain industri strategik bagi membangunkan ekosistem industri yang lebih bersepadu, berdaya saing dan bersedia untuk masa depan.

 

Menurutnya, kehadiran Golog dijangka memperkenalkan keupayaan infrastruktur rantaian sejuk (cold chain) ke dalam MVV City, yang akan menyokong peningkatan permintaan terhadap penyimpanan, pergudangan dan pengedaran terkawal suhu merentas pelbagai sektor termasuk makanan, farmaseutikal, e-dagang, logistik serta import-eksport.

 

“Integrasi infrastruktur rantaian sejuk ini akan meningkatkan lagi daya saing MVV TechValley sebagai hab industri dan logistik strategik di rantau Asia Tenggara,” katanya.

 

Matrix Concepts berkata, pembangunan itu juga akan melengkapi ekosistem industri MVV City dengan menggabungkan infrastruktur, kesiapsiagaan logistik, kemudahan sokongan perniagaan dan keterhubungan dalam satu rangkaian bersepadu bagi menyokong pertumbuhan industri jangka panjang.

 

Syarikat itu turut menegaskan bahawa penyertaan Golog mencerminkan keyakinan terhadap potensi jangka panjang MVV City, susulan perubahan rantaian bekalan serantau, peningkatan aliran perdagangan ASEAN serta permintaan yang semakin tinggi terhadap ekosistem industri yang lebih efisien.

 

Pada Oktober tahun lalu, Matrix Concepts menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Golog bagi membangunkan Taman Perindustrian Dwi Hab Laluan Sutera Udara China-Malaysia di MVV TechValley, Negeri Sembilan.

 

Taman perindustrian seluas 618 ekar itu akan dibangunkan dalam tiga fasa dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM8 bilion.

 

“Kerjasama ini turut disokong oleh Golog bersama China Henan Aviation Group Co Ltd dan Sichuan Huashi Group Corp Ltd, yang dijangka memperkukuh keupayaan logistik serantau serta keterhubungan rantaian bekalan rentas sempadan,” katanya.

 

MVV City yang dibangunkan secara bersama oleh Matrix Concepts dan Kerajaan Negeri Sembilan menerusi NS Corp merupakan bandar bersepadu pertama di bawah koridor MVV 2.0, merangkumi kawasan seluas 2,382 ekar yang melibatkan 1,000 ekar tanah industri, lebih 15,000 unit kediaman serta 174 ekar ruang komersial dan institusi. - DagangNews.com