Master Tec peroleh kontrak kerja infrastruktur elektrikal luaran bernilai RM10.68 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Master Tec peroleh kontrak kerja infrastruktur elektrikal luaran bernilai RM10.68 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 OktMaster Tec Group Berhad menerima kontrak terbaharu yang bernilai sebanyak RM10.68 juta bagi pelaksanaan pelbagai kerja subkontrak infrastruktur elektrikal luaran.


Kumpulan itu berkata, surat penganugerahan tender pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan, penyempurnaan dan penyelenggaraan itu diperoleh anak syarikatnya, Sediacom Sdn Bhd.
 

Ia diterima daripada sebuah syarikat kontraktor tempatan yang memang terlibat aktif dalam kerja infrastruktur elektrikal dan awam, dengan dikenali sebagai Company A bagi tujuan pengumuman itu.


"Bagaimanapun, atas faktor kerahsiaan dan komersial, identiti sebenar syarikat berkenaan tidak dapat didedahkan ketika ini," menurut Master Tec dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Projek tersebut bermula pada Oktober 2025 serta dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2026, dengan kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham atau pemegang saham utama syarikat.


Sebaliknya tambah kumpulan berkenaan, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja subkontrak tersebut.


Master Tec turut menegaskan tiada pengarah, pemegang saham utama, atau pihak berkaitan dengan mereka ada sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam pelaksanaan subkontrak itu.


"Lembaga Pengarah menyatakan bahawa selepas meneliti semua aspek yang berkaitan, maka penerimaan kontrak ini adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat," jelas kumpulan berkenaan lagi.


Kerja-kerja diterima itu juga tambah Master Tec, adalah seiring dengan usaha berterusan kumpulan untuk berusaha mengukuhkan kedudukan dalam segmen infrastruktur elektrikal dan kejuruteraan.


Selain itu, ia turut menjelaskan yang projek tersebut tidak memerlukan sebarang kelulusan daripada pemegang saham syarikat atau pihak berkuasa kerajaan berkaitan. - DagangNews.com