MARGMA beri amaran krisis stok getah akibat sekatan di Selat Hormuz ancam industri sarung tangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MARGMA beri amaran krisis stok getah akibat sekatan di Selat Hormuz ancam industri sarung tangan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Mac — Gangguan serius bahan mentah berisiko menjejaskan rantaian bekalan sarung tangan perubatan global, menurut Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).


Presidennya, Oon Kim Hung berkata, situasi ini memberi tekanan kewangan ketara kepada pengeluar dan berpotensi mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan sistem penjagaan kesihatan dunia.


Justeru, beliau dalam kenyataan, menggesa campur tangan segera daripada kerajaan bagi menangani kekurangan bahan getah jenis 'Nitrile Butadiene Rubber' (NBR) susulan isu sekatan di Selat Hormuz.


"Krisis geopolitik ini mengganggu laluan perkapalan global dan melonjakkan harga minyak mentah, serta meningkatkan kos dan menjejaskan NBR iaitu bahan utama bagi sarung tangan nitril," katanya.


Malaysia jelas Kim Hung, ketika ini menyumbang 45% daripada permintaan sarung tangan getah dunia, dan sebarang gangguan berpanjangan dinilai sebagai risiko besar bagi sistem kesihatan awam global.


Pada masa sama ujarnya, isu itu boleh menjejaskan reputasi negara sebagai pembekal utama peralatan perlindungan diri (PPE), dan menegaskan industri sarung tangan merupakan sektor eksport strategik.


Produk itu tambahnya, bernilai tinggi yang menyokong ekonomi negara, dan bagi menangani krisis ini, MARGMA mengemukakan dua cadangan utama kepada kerajaan untuk diberi pertimbangan khas.


"Antaranya, kerajaan wajar mengutamakan bekalan domestik NBR dengan meminta pengeluar memberi keutamaan kepada pengilang sarung tangan tempatan berbanding pembeli luar negara," kata Kim Hung.

 

MARGMA Oon Kim Hung
OON KIM HUNG



Langkah ini jelas beliau, adalah amat penting bagi memastikan kapasiti pengeluaran negara kekal stabil dan komitmen kepada semua hospital serta pengedar global dapat dipenuhi tanpa ada sebarang masalah.


Di samping itu ujar beliau, kerajaan perlu memberikan kelonggaran sementara terhadap kontrak gas jenis 'Take-or-Pay' (TOP), susulan kilang kini terpaksa beroperasi di bawah kapasiti akibat kekurangan NBR.


Sehubungan itu, MARGMA tambah Kim Hung, meminta kerajaan menangguhkan obligasi TOP, pelarasan keperluan penggunaan minimum gas atau pemberian rebat sementara sebelum bekalan kembali stabil.


"Kekangan bekalan menyebabkan pengeluar bukan sahaja berdepan peningkatan kos bahan mentah, malah terpaksa menanggung beban tambahan akibat tidak mampu memenuhi kuota penggunaan gas," katanya.


Situasi ini menjejaskan kelangsungan operasi serta daya saing industri dalam tempoh terdekat, kerana pada 2025, industri sarung tangan getah Malaysia mencatat eksport bernilai RM14 bilion.


Produk itu ujar Kim Hung, berjaya menyumbang 64% daripada keseluruhan eksport produk getah negara, apabila dieksport ke 195 negara, merangkumi hospital, makmal dan pelbagai sektor industri.


MARGMA menegaskan tindak balas pantas serta kerjasama sektor awam dan swasta amat penting bagi melindungi pekerjaan, menyokong ekonomi serta memastikan bekalan sarung tangan tidak terjejas.


"Tanpa langkah mitigasi segera, krisis bekalan NBR ini berpotensi memberi impak besar bukan sahaja kepada industri tempatan, malah sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia," katanya. - DagangNews.com