KUALA LUMPUR 18 Ogos — IJM Corporation Berhad (IJM) terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor pembinaan berimpak tinggi menerusi kontrak pusat data (DC) bernilai RM1.4 bilion di Johor, terbesar pernah dimenangi syarikat setakat ini, menurut CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan itu berkata, lebih menarik perhatian pelabur, projek ini dijangka memberikan margin keuntungan sebelum cukai dalam lingkungan belasan peratus, jauh mengatasi margin tipikal 6% hingga 9% bagi pembinaan konvensional.
Tambahnya, margin tinggi ini dipacu oleh kompleksiti teknikal dan reka bentuk berprestij, termasuk pensijilan LEED Gold dan GreenRE Platinum, serta penggunaan sistem pracetak sepenuhnya melalui anak syarikat Industrial Concrete Products.
"Projek pusat data memberikan pulangan margin yang jauh lebih tinggi berbanding projek lain, justeru menjadi pemangkin utama kepada peningkatan margin kumpulan dalam tahun kewangan akan datang," kata CGSI dalam nota kajiannya.
Dalam laporan suku keempat tahun kewangan 2025, margin keuntungan sebelum cukai segmen pembinaan IJM meningkat kepada 4.9% daripada 3.9% pada suku sebelumnya.
Dengan beberapa projek kini melepasi ambang kemajuan 10% untuk pengiktirafan hasil, syarikat menjangkakan margin bagi FY26 akan meningkat ke paras 6% hingga 9%, dan boleh melebihi paras itu untuk projek DC.
CGSI menambah, menerusi kemenangan terbaharu ini, buku tempahan tempatan IJM kini mencecah RM9.4 bilion, dengan jumlah projek dimenangi setakat ini untuk FY26 adalah RM2.8 bilion, termasuk sambungan Lebuhraya Pantai Baru (NPE).
Pada 2024, IJM turut memenangi tiga lagi projek DC bernilai RM840 juta, dan menurut pengurusan, terdapat empat lagi tender DC bernilai beberapa bilion ringgit yang masih dalam peringkat bidaan serta membuka lebih banyak ruang kepada margin yang lebih tinggi dalam masa terdekat.
Firma penyelidikan mengekalkan saranan 'tambah' ke atas saham IJM dengan harga sasaran RM3.61 sesaham, memetik prospek margin lebih tinggi hasil daripada pemfokusan strategik terhadap projek DC.
“Setiap kemenangan DC bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan buku tempahan, tetapi menyokong pengembangan margin secara mampan – justeru menjadi asas kepada penarafan semula syarikat dalam pasaran,” kata CGSI. - DagangNews.com








