Margin Techbond berpotensi pulih pada 1QFY26 didorong permintaan lebih kukuh, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin Techbond berpotensi pulih pada 1QFY26 didorong permintaan lebih kukuh, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 NovTechbond Group Berhad diyakini menunjukkan momentum pemulihan yang lebih kukuh pada 1QFY26 dengan pertumbuhan pendapatan teras sebanyak dua angka, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan itu disokong margin yang bertambah baik dan permintaan lebih stabil, dengan ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 42 sen sesaham.


Jelasnya, kumpulan berkenaan merekodkan peningkatan keuntungan teras 14.4% tahun ke tahun (YoY) dan 10.1% suku ke suku (QoQ) selepas melaraskan keuntungan mata wang asing yang tidak direalisasi.


"Prestasi ini memenuhi sekitar 23% unjuran kami, dengan dividen interim pertama 0.75 sen diumumkan Techbond, walaupun lebih rendah 25% YoY namun melibatkan kadar pembayaran 118%," kata RHB Research.


Ia menjelaskan bahawa pengurangan perbelanjaan operasi serta usaha berterusan untuk mengoptimumkan portfolio produk telah meningkatkan margin kasar sebanyak 2 hingga 3 mata secara QoQ dan YoY.


Peningkatan pendapatan faedah jelas firma itu, turut menyumbang kepada pertumbuhan keuntungan, selain segmen pelekat industri, dan bahan kimia kekal penyumbang terbesar dengan 95% daripada jualannya.


Kata RHB Research, walaupun segmen berkenaan didapati mencatat kelembapan sukuan akibat langkah rasionalisasi produk kimia, asas permintaan adalah kekal stabil kepada kumpulan tersebut sendiri.


"Persekitaran ekonomi global sebenarnya masih lagi mencabar terhadap syarikat, termasuk perubahan dasar serta dinamik percukaian baharu seperti tarif balas Amerika Syarikat (AS)," tambah firma itu.


Bagaimanapun jelasnya, langkah pengeluar global mempelbagaikan operasi ke ASEAN menjadi pemacu positif untuk Techbond, dan firma berkenaan menjangkakan pertumbuhan eksport yang lebih kukuh.


RHB Research berkata, permintaan yang berterusan daripada pelanggan sedia ada dan pasaran baharu, terutama Vietnam, bakal menyokong pemulihan pendapatan pada FY26 selepas asas lemah pada FY25.


Ia turut mengekalkan unjuran kewangan Techbond dengan sokongan strategi pengoptimuman produk yang meningkatkan margin, asas pelanggan berkembang serta kedudukan kewangan bersih lebih kukuh.


Pada masa sama, ia memberi amaran antara risiko utama termasuk permintaan lebih lemah daripada jangkaan, margin tertekan serta turun naik kadar pertukaran mata wang asing. - DagangNews.com