Margin MGB dikhuatiri sukar dikekalkan berikutan kos pembinaan tidak menentu, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin MGB dikhuatiri sukar dikekalkan berikutan kos pembinaan tidak menentu, kata PublicInvest

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 6 AprilMGB Berhad berdepan cabaran utama untuk mengekalkan margin keuntungan dalam persekitaran kos pembinaan tidak menentu ketika ini, kata Public Investment Bank (PublicInvest).


Firma penyelidikan tersebut menambah, walaupun kumpulan berkenaan terus mencatatkan pemerolehan kontrak baharu bagi menyokong pertumbuhan pendapatan, kemenangan itu tidak menjamin keuntungan.


Situasi itu jelasnya, susulan kejayaan kumpulan tersebut pada 1 April 2026 yang memperoleh tender bernilai RM200.7 juta bagi pembinaan asrama pekerja berpusat (CLQ) di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.


"Kontrak tersebut dianugerahkan oleh Lien Dak Builders Sdn Bhd kepada anak syarikat milik penuh MGB, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd," kata PublicInvest dalam nota analisisnya hari ini.


Jelasnya, skop projek CLQ tersebut merangkumi kerja pembinaan kuarters pekerja bersama-sama dengan pelbagai kemudahan sokongan yang akan dilaksanakan dalam dua fasa melibatkan tempoh 24 bulan.


Fasa pertama meliputi pembinaan asrama 19 tingkat, bangunan fasiliti empat tingkat dengan parkir serta depoh sisa berpusat, manakala fasa kedua ialah apartmen 18 tingkat dan bangunan utiliti.

 

Artikel berkaitan: MGB dapat kontrak RM200 juta bina asrama pekerja di Bukit Minyak

 

MGB_DagangNews


Menurut PublicInvest, projek ini dijangka menyumbang secara purata 6.1% setahun kepada pendapatan MGB sepanjang tempoh kontrak, dengan andaian margin sebelum cukai pada kadar satu digit tinggi.


"Kami difahamkan yang kerja-kerja pembinaan tersebut dijangka bermula pada pertengahan tahun ini dan siap menjelang pertengahan tahun kewangan 2028 (FY28)," tambah firma penyelidikan berkenaan.


Susulan kontrak baharu itu, buku tempahan terkumpul syarikat meningkat kira-kira 18.4% kepada RM1.29 bilion, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan bagi tempoh dua tahun akan datang.


Namun, PublicInvest mengekalkan unjuran pendapatan sedia ada memandangkan kontrak ini sudah pun diambil kira dalam jangkaan penambahan buku tempahan sebanyak RM800 juta bagi tahun kewangan 2026.


Ia turut mengekalkan saranan ‘outperform’ terhadap MGB dengan harga sasaran (TP) sesaham yang juga tidak berubah pada 78 sen, berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOTP). - DagangNews.com