Margin Lotte Chemical Titan kekal tertekan, harga sasaran diturunkan kepada RM0.29 - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin Lotte Chemical Titan kekal tertekan, harga sasaran diturunkan kepada RM0.29 - TA Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Mei - Keadaan jangka pendek Lotte Chemical Titan Holding Bhd kekal mencabar susulan gangguan bekalan bahan mentah dan logistik berikutan penutupan Selat Hormuz yang menjejaskan rantaian bekalan global.

 

Firma penyelidikan berkata, sekatan tersebut telah mengehadkan akses syarikat kepada nafta dari Timur Tengah, yang merupakan bahan mentah utama dalam operasi petrokimia kumpulan itu.

 

“Situasi ini menjejaskan aliran perolehan serta mengecilkan penampan inventori syarikat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurutnya, gangguan berkenaan turut menyebabkan peningkatan kos input, sekali gus menekan margin keuntungan serta mengehadkan fleksibiliti operasi dalam tempoh terdekat.

 

Susulan semakan semula unjuran pendapatan, firma itu menurunkan harga sasaran Lotte Chemical Titan kepada RM0.29 sesaham daripada RM0.37 sebelum ini.

 

Penilaian tersebut berdasarkan nisbah 0.14 kali nilai buku FY26 dengan mengambil kira premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 3%.

 

Lotte Chemical Titan merekodkan kerugian bersih teras suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) sebanyak RM228.6 juta, yang lebih buruk daripada jangkaan tetapi lebih baik berbanding anggaran konsensus.

 

Prestasi tersebut masing-masing merangkumi 36% dan 18% daripada unjuran kerugian setahun penuh oleh firma penyelidikan dan konsensus pasaran.

 

Perbezaan negatif itu terutamanya disebabkan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi daripada jangkaan berkaitan projek LINE.

 

Dari segi suku ke suku, hasil suku pertama FY26 susut 1.6% dipengaruhi penurunan volum jualan sebanyak 6.0%, namun sebahagiannya diimbangi oleh harga jualan purata (ASP) yang lebih kukuh.

 

Walaupun begitu, kerugian sebelum cukai (LBT) mengecil kepada RM229.5 juta berbanding RM2,239.1 juta pada suku keempat FY25, disokong ketiadaan caj kerosakan nilai (impairment) yang direkodkan pada suku sebelumnya.

 

Dari segi tahun ke tahun, hasil meningkat 69.6% dipacu sumbangan lebih kukuh daripada projek LINE yang melonjak 128.1%.

 

Namun, LBT melebar kepada RM229.5 juta berbanding RM128.0 juta pada 1QFY25, terkesan oleh peningkatan susut nilai dan perbelanjaan faedah berkaitan projek LINE, selain bahagian kerugian lebih besar daripada syarikat sekutu, Lotte Chemical USA Corp.

 

Sementara itu, TA Securities memaklumkan ia menghentikan liputan ke atas syarikat berkenaan berkuat kuasa serta-merta berikutan penyusunan semula sumber dalaman. - DagangNews.com