KUALA LUMPUR 27 Ogos – Margin operasi yang jauh lebih kukuh daripada jangkaan menjadi pemacu utama kepada prestasi cemerlang Uzma Berhad bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25), menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan rumusan teknologi berkenaan mampu merekodkan keuntungan bersih teras yang mencecah sebanyak RM50 juta, sekali gus mengatasi unjuran penganalisis itu sebelum ini.
Prestasi ini melepasi 115% daripada unjuran dan 116% daripada konsensus pasaran, disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen tenaga baharu serta aktiviti dagangan produk petroleum dan baja yang rancak.
"Walaupun margin keseluruhan sedikit lemah kepada 20.4% berbanding tahun sebelumnya, Uzma berjaya mengekalkan keuntungan bersih tinggi disebabkan margin lebih baik dalam beberapa segmen utama," kata Phillip Capital dalam nota kajiannya.
Perkembangan tersebut kata firma itu, sekali gus dapat mengimbangi kelemahan dalam margin perkhidmatan minyak dan gas (O&G) dikendalikan kumpulan berkenaan.
Prestasi dicatatkan Uzma pada tempoh suku keempat FY25 (4QFY25) turut menunjukkan peningkatan ketara, dengan hasil naik sebanyak 26% suku ke suku (QoQ) kepada kira-kira RM213 juta.
Margin keuntungan kasar kata Phillip Capital, meningkat 1.5 mata peratusan kepada 23%, menjadikan keuntungan bersih teras sukuan meningkat 67% kepada sebanyak RM17 juta.
"Pertumbuhan ini didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen tenaga baharu, dagangan dan O&G, walaupun prestasi perkhidmatan O&G kekal mencabar," tambah firma berkenaan.
Seiring prestasi memberangsangkan itu, Phillip Capital menyemak naik unjuran perolehan bagi FY26 dan FY27 sebanyak 17 hingga 22%, serta memperkenalkan unjuran awal FY28 dengan keuntungan dijangka meningkat 15% kepada RM86 juta.
Harga sasaran (TP) selama 12 bulan saham Uzma turut dinaikkan kepada 89 sen daripada 76 sen, berdasarkan kepada unjuran 8 kali ganda perolehan FY26, dengan saranan 'beli' dikekalkan.
Firma itu turut menyatakan penurunan harga saham Uzma sebanyak 29% sejak awal tahun adalah tidak selari dengan prestasi asasnya, memandangkan syarikat diniagakan hanya 4 kali ganda perolehan FY26, jauh di bawah potensi sebenar.
"Antara pemangkin utama yang dijangka memacu pertumbuhan pada FY26 termasuk kontrak kapal seismik selama dua tahun yang dijangka menyumbang tambahan RM10 juta kepada keuntungan tahunan," kata Phillip Capital.
Begitu juga tambahnya, pelaksanaan projek LSS4 dan WIF 2.0, serta usaha niaga baharu dalam sektor satelit yang menandakan kepelbagaian strategik Uzma dalam bidang teknologi tenaga dan komunikasi.
Phillip Capital turut menegaskan beberapa risiko seperti kemungkinan penangguhan projek, kos lebihan dan kekurangan tempahan kerja, namun mengekalkan keyakinan terhadap prospek jangka sederhana syarikat.
“Uzma kini berada dalam posisi strategik untuk menuai hasil daripada pelbagai segmen pertumbuhan serentak, dan kami percaya penurunan harga saham baru-baru ini membuka ruang pembelian bernilai,” ujar firma itu. - DagangNews.com








