Margin lebih baik segmen pengangkutan kontena, harga sasaran Swift Haulage disemak kepada 42 sen - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin lebih baik segmen pengangkutan kontena, harga sasaran Swift Haulage disemak kepada 42 sen - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Prospek Swift Haulage Berhad dilihat bercampur-campur, dengan separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25) dijangka mencatatkan prestasi lebih kukuh secara bermusim, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut menyatakan, margin bagi segmen pengangkutan kontena dijangka bertambah baik, meskipun jumlah volum mungkin mencatatkan sedikit penyusutan.

 

Ini tambahnya, susulan beberapa gangguan tidak dirancang oleh pelanggan petrokimia utama di Pantai Timur, namun kadar pengangkutan telah dinaikkan antara 5% hingga 8% bermula Julai 2025.

 

"Ia bagi laluan tertentu, berikutan kekangan kapasiti yang dijangka berpunca daripada pemeriksaan lebih ketat ke atas trak terlebih muatan," kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Kos gaji minimum yang hanya mula diteruskan pada Julai 2025 turut dijangka menyokong penambahbaikan margin dalam segmen tersebut.

 

Sementara itu, segmen penghantaran barang terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan peningkatan jumlah kerja sebanyak 27.3% tahun ke tahun, disumbang secara sama rata oleh pertumbuhan organik dan pemerolehan 60% kepentingan dalam Aman Logistics pada Ogos 2024.

 

Permintaan dijangka kekal teguh untuk 2HFY25, khususnya dalam penghantaran kargo projek yang menawarkan pulangan lebih tinggi.

 

MBSB Research menambah, segmen pergudangan pula menyaksikan kapasiti meningkat sebanyak 387,000 kaki persegi sepanjang FY24, dengan kadar penggunaan melebihi 90% di kebanyakan lokasi.

 

Bagaimanapun, margin menurun sebanyak 2 mata peratusan berbanding suku sebelumnya, disebabkan oleh peningkatan pelanggan yang memerlukan aktiviti pengendalian – yang mempunyai margin lebih rendah berbanding simpanan biasa.

 

Swift turut melihat potensi pertumbuhan daripada usaha sama 30% dimilikinya, Global Vision Logistics Sdn Bhd (GVL), dengan Fasa 1 seluas 0.26 juta meter persegi dijangka mula beroperasi pada suku pertama FY26.

 

"Kumpulan ini akan menguruskan 46,451 meter persegi daripada fasiliti tersebut, termasuk 9,290 meter persegi rantai sejuk," kata firma penyelidikan tersebut.

 

Kumpulan kini giat memasarkan ruang ini, dan kadar pengambilan dijangka tidak menjadi isu memandangkan lokasi strategik tapak berkenaan.

 

Sejajar dengan semakan semula jangkaan volum kontena yang lebih rendah, kadar pengangkutan tinggi serta peningkatan sederhana dalam kos operasi, anggaran pendapatan FY25 hingga FY27 telah disemak turun sebanyak 2%.

 

Susulan semakan ini, MBSB Research mengurangkan harga sasaran saham Swift sedikit kepada 42 sen daripada 43 sen sebelum ini, berdasarkan unjuran FY26. - DagangNews.com