Margin hiliran susut, Sarawak Oil Palms dan Sarawak Plantation berdepan saingan kos syarikat Indonesia - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin hiliran susut, Sarawak Oil Palms dan Sarawak Plantation berdepan saingan kos syarikat Indonesia - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 DisPublic Investment Bank mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor perladangan di Sarawak susulan lawatan tapak ke atas dua syarikat berbeza di Miri, baru-baru ini.


Firma penyelidikan tersebut berkata, hasil kunjungan ke Sarawak Oil Palms Berhad (SOP) dan Sarawak Plantation Berhad (SPB), mereka mendapati prospek segmen hiliran masih lagi kekal mencabar.


Jelasnya, walaupun margin menurun berbanding paras tertinggi pada 2024, sektor biodiesel masih mencatatkan keuntungan, dan setakat tahun ini, operasi hiliran dijangka memberi hasil positif.


"Pihak pengurusan dua syarikat ini namun tidak mendedahkan angka keuntungan secara terperinci, dan prospek aktiviti penapisan dijangka terus mencabar," kata PublicInvest dalam notanya hari ini.


Ia berikutan persaingan yang semakin sengit daripada syarikat-syarikat perladangan di Indonesia yang mempunyai kelebihan kos disebabkan cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah.


Bagaimanapun jelas firma tersebut, loji biodiesel masih mampu menjana margin yang stabil, disokong oleh mandat campuran biodiesel di peringkat negeri, manakala segmen fitonutrien pula agak lemah.


Situasi berkenaan disebabkan projek yang dijalankan bersama-sama Avant Health dijangka mengalami kerugian dalam tempoh masa terdekat kerana masih lagi berada pada peringkat awal pembangunan.


"Justeru SOP dan SPB dilihat memberi fokus potensi nilai tersembunyi aset terutama bank tanah yang terletak di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo, serta usaha peningkatan produktiviti," katanya.


"SOP dan SPB merupakan perintis awal industri perladangan kelapa sawit di Sarawak yang memiliki pendedahan bank tanah secara cukup signifikan di lokasi dianggap strategik," kata PublicInvest. 


Ia sekali gus membuka peluang pengewangan aset dalam tempoh sederhana hingga panjang, khususnya apabila Lebuh Raya Pan Borneo siap sepenuhnya dan jika projek Rel Trans-Borneo direalisasikan.


Justeru, firma tersebut turut melihat kemajuan positif dari segi operasi, termasuk penggunaan mekanisasi dan kaedah biologi bagi meningkatkan hasil, seperti penggunaan serangga pendebungaan.


Kedua-dua syarikat itu kata PublicInvest, memiliki pusat pembiakan kumbang EK serta mesin penuaian moden yang berupaya meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.


"Bagi SOP, pengurusan menjangkakan pengeluaran buah tandan segar (BTS) menyusut sekitar 10% pada FY25 akibat cuaca lembap berpanjangan, namun menjangkakan pemulihan semula ketika FY26," jelasnya.


Kumpulan itu juga menyasarkan program penanaman semula jangka panjang sehingga 5,000 hektar setiap tahun, selain pengewangan kira-kira 2,023 hektar tanah di sepanjang Pan Borneo pada masa depan.


Sementara itu kata PublicInvest, SPB dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran benih sawit kira-kira 61% kepada 2.57 juta benih pada 2026, sebelum mencecah 4.4 juta benih setahun menjelang 2030. 


Lawatan firma itu turut meninjau keunikan penggunaan mesin penuaian generasi baharu ‘Lipan’ dengan keupayaan lebih tiga tan metrik setiap hari dan meningkatkan produktiviti ladang secara ketara.


"Dari segi penilaian, kami berpandangan yang saham kedua-dua syarikat ini masih diniagakan pada paras menarik apabila mengambil kira kedudukan aliran tunai bersih masing-masing," jelasnya.


Bagaimanapun, PublicInvest masih berhati-hati terhadap prospek margin hiliran yang kekal mencabar serta faktor kos pengeluaran yang lebih tinggi di negeri tersebut berbanding di Semenanjung Malaysia.


Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu menegaskan daya tarikan utama SOP dan SPB terletak pada nilai aset tanah yang belum direalisasikan dan inisiatif peningkatan hasil tuaian dalam jangka panjang.


Ia namun terus mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap sektor perladangan di Sarawak berikutan ketidaktentuan margin dan faktor luaran seperti harga minyak sawit mentah. - DagangNews.com