Margin hiliran sektor perladangan kekal rendah akibat saingan dari Indonesia, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin hiliran sektor perladangan kekal rendah akibat saingan dari Indonesia, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Dis – Margin hiliran sektor perladangan kekal tertekan pada 3Q25, dipengaruhi persaingan sengit daripada banyak syarikat Indonesia yang menawarkan harga lebih kompetitif.


RHB Research berkata, walaupun margin penapisan masih ketat, sektor ini mencatatkan prestasi keseluruhan yang lebih baik daripada jangkaan, dan firma tersebut mengekalkan saranan 'neutral'.


Jelasnya, daripada 14 syarikat di bawah liputan, sebanyak tujuh yang berjaya mengatasi jangkaan, manakala enam lagi sejajar, dan hanya satu didapati mencatat prestasi lemah di bawah unjuran.


"Kelebihan datang daripada kos unit yang lebih rendah seperti SD Guthrie Berhad, Johor Plantations Group dan TSH Resources," kata firma penyelidikan berkenaan dalam satu nota kajiannya hari ini. 


Sementara syarikat perladangan dengan rekod 'output' lebih tinggi seperti First Resources, Golden Bumitama Agri, Wilmar dan Nusantara Sawit Sejahtera juga memiliki potensi pertumbuhan positif.


Berdasarkan perkembangan semasa itu, RHB Research mengekalkan unjuran harga komoditi minyak sawit mentah (MSM) tempatan iaitu RM4,350 setiap tan pada 2025 dan RM4,250 setiap tan untuk tahun depan.


Pengeluaran buah tandan segar (BTS) negara ini pula jelasnya, meningkat 12.5% suku ke suku (QoQ) pada 3Q25, manakala harga spot MSM naik 5% QoQ dan isi rung sawit (PK) turut mengukuh 2% QoQ.


"Bagaimanapun, ada syarikat menjangkakan penurunan 'output' pada 4Q25, dengan Oktober sebagai puncak pengeluaran, dan unjuran pertumbuhan BTS dikekalkan satu digit untuk 2025," katanya.


RHB Research turut menilai Indonesia merekodkan pertumbuhan 'output' 5.3% QoQ dan 6.2% tahun ke tahun (YoY) pada 3Q25, didorong pemulihan selepas fenomena cuaca ekstrem El Nino pada 2024.


Kebanyakan pengeluar menjangka 4Q25 menjadi suku puncak, sambil mengekalkan unjuran pertumbuhan BTS tahun ini, dan badan perladangan negara itu melaporkan pertumbuhan 11% YoY setakat September.


Situasi margin hiliran sektor itu di Indonesia, melemah QoQ berikutan penyempitan perbezaan cukai huluan dan hiliran sebanyak AS$76 (RM312.36) setiap tan, namun margin YoY pula bertambah baik.


"Di Malaysia, margin hiliran meningkat QoQ tetapi kekal lebih rendah YoY akibat saingan kukuh daripada Indonesia, dan kami menjangkakan margin penapisan kekal ketat," kata RHB Research lagi.


Bagaimanapun jelas firma berkenaan, permintaan untuk produk hiliran lanjutan di pasaran Eropah masih lagi menunjukkan peningkatan, dan memberi petanda positif jangka pendek kepada sektor itu. 


Walaupun margin hiliran kekal mencabar dan keuntungan 4Q25 dijangka sederhana, sektor ini masih menunjukkan kekuatan asas, disokong 'output' kukuh serta kejutan positif 3Q25. - DagangNews.com