Margin Frontken turun pada 3Q25 akibat kos tinggi pengembangan operasi di luar negara, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin Frontken turun pada 3Q25 akibat kos tinggi pengembangan operasi di luar negara, kata HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 JunFrontken Corporation Berhad mencatat penurunan margin pada tempoh suku ketiga tahun ini disebabkan faktor kos tinggi pengembangan operasi permulaannya di luar negara.


Bagaimanapun, Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran RM4.95, yang bersandarkan unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PE) pada FY26 sebanyak 37 kali.


Firma penyelidikan itu turut menekankan kumpulan tersebut kekal menarik untuk pelaburan jangka sederhana hingga panjang, disokong oleh permintaan produk dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI).


"Selain itu peralihan kepada pengeluaran cip termaju dan perbelanjaan modal (capex) kilang yang berterusan sebagai faktor pemacu pertumbuhan industri semikonduktor," katanya dalam nota kajian.


HLIB menambah, Frontken juga ada buku akaun kukuh dengan tunai bersih RM563 juta, memberikan kelebihan kewangan untuk pengembangan kapasiti di Taiwan, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).


Secara teknikal katanya, saham kumpulan tersebut sudah turun turun 13.6% daripada paras tertinggi selama 52 minggu iaitu RM4.83 dan ketika ini stabil di atas garisan sokongan sebanyak RM4.17.


Keadaan itu jelasnya, menandakan kemungkinan tekanan jualan semakin berkurangan, manakala petunjuk momentum menunjukkan saham syarikat ini bakal melakukan peningkatan dan mengalami pemulihan.


"Saham Frontken dijangka mampu naik sehingga mencecah harga RM4.63, dan potensi menguji semula paras RM4.83, dengan garisan sokongan bawah dijangkakan serendah pada RM4.00," tambah HLIB lagi.


Dari segi prestasi, kumpulan itu mencatat keuntungan teras pada 3Q25 sebanyak RM41.6 juta, turun 20% suku ke suku (QoQ) tetapi naik 16% tahun ke tahun (YoY), dan keuntungan 9M25 ialah RM124 juta.


Ia mewakili 70% dan 72% masing-masing daripada ramalan HLIB dan konsensus, dengan penurunan margin berurutan disebabkan sumbangan minyak dan gas (O&G) lebih lemah serta kos pengembangan tinggi.


Pengurusan Frontken namun tetap optimis dengan pengoperasian barisan pembersihan baharu di Taiwan dan peningkatan fasiliti di Singapura, sambil terus menilai peluang keuntungan di pasaran AS.


"Negara berkenaan diyakini mampu dalam meningkatkan keupayaan teknologi kumpulan dan keterlihatan keuntungan untuk jangka sederhana," kata firma penyelidikan tersebut. - DagangNews.com