MARC kekalkan penarafan AAA-IS sukuk wakalah RM10 bilion TNB Power Generation | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MARC kekalkan penarafan AAA-IS sukuk wakalah RM10 bilion TNB Power Generation

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Dis — MARC Ratings masih mengekalkan penarafan AAA-IS dengan prospek stabil ke atas program sukuk wakalah sehingga RM10 bilion terbitan TNB Power Generation Sdn Bhd.


Menurut agensi tersebut, langkah itu selari dengan penarafan syarikat induknya, Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan juga mencerminkan peranan TNB Power Generation sebagai teras penjanaan kumpulan.


Setakat 1 September 2025, syarikat utiliti itu menyumbang 55.3% atau 15,114 megawatt (MW) daripada kapasiti penjanaan terpasang di Semenanjung Malaysia, selain integrasi operasi dan kewangan kukuh.


"Pendapatan TNB Power Generation kekal stabil di bawah perjanjian pembelian tenaga (PPA) jangka panjang dan berasaskan ketersediaan dengan TNB, yang mengurangkan risiko permintaan," jelas MARC.

 

 

 

 

 

 

 

 

Perkembangan tersebut kata agensi penarafan tersebut, membolehkan pelarasan kos bahan api yang tertakluk kepada prestasi operasi, manakala dua loji hidro dikecualikan daripada struktur ini.


Jelasnya, PPA bagi stesen janakuasa (SJ) Gelugor (310MW) dan SJ Putrajaya (252MW) sudah pun tamat, sementara perjanjian untuk SJ Tuanku Jaafar PD1 (703MW) pula akan berakhir menjelang Ogos 2028.


Ketiga-tiga projek ini tambah MARC, diluluskan untuk lanjutan pada November 2025 di bawah program kapasiti penjanaan baharu (NGC) dan akan terus beroperasi antara tempoh 2027 hingga 2029.


"Dalam pada itu, PPA untuk SJ Kenyir yang tamat akan dilanjutkan secara interim sebelum beralih kepada perjanjian baharu di bawah Program Pelanjutan Hayat Hidro (HLEP)," kata agensi itu lagi.


Perbelanjaan modal (capex) HLEP SJ Kenyir masih belum dimuktamadkan dan dijangka dibiayai melalui hutang, manakala lanjutan PPA di bawah NGC hanya memerlukan capex penyelenggaraan secara dalaman.


Berdasarkan projek semasa termasuk loji hidro Nenggiri dan HLEP SSJ Sungai Perak, jumlah pinjaman dijangka memuncak sekitar RM22.8 bilion pada 2027, berbanding RM21.6 bilion pada Jun 2025.


MARC menjangkakan tahap hutang TNB Power Generation kekal terkawal dengan aliran tunai mencukupi untuk servis hutang, meskipun bagi separuh pertama 2025, hasil susut sedikit kepada RM9.8 bilion.


"Ini disebabkan tamatnya PPA SJ Gelugor dan bayaran lebih rendah susulan harga arang batu yang lemah, namun hasil setahun penuh dijangka stabil, dan keuntungan kasar diramal naik," katanya.

 

 

 

 

 

 

 


Situasi berkenaan jelas agensi tersebut, disokong oleh faktor pengurangan kerugian atas bayaran kapasiti dan kerugian komersial yang berkaitan dengan penggunaan arang batu di beberapa SJ tertentu.


Aliran tunai operasi masih kukuh pada RM1.41 bilion berbanding RM802.6 juta tempoh sama tahun lalu, dengan kecairan yang sihat dan baki tunai RM5.9 bilion setakat akhir Jun 2025. - DagangNews.com