Malaysian Pacific Industries pertaruhkan permintaan AI tingkatkan industri semikonduktor - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysian Pacific Industries pertaruhkan permintaan AI tingkatkan industri semikonduktor - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Feb — Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) mempertaruhkan pertumbuhan kecerdasan buatan (AI) untuk mengukuhkan industri semikonduktor, dengan diimbangi permintaan lemah dalam sektor automotif dan elektronik pengguna.
 

Menurut nota kajian TA Securities. pengurusan syarikat itu percaya bahawa walaupun 'perang tarif' antara Amerika Syarikat (AS) dan China membawa isu ketidakpastian, permintaan semakin meningkat untuk AI dan pusat data dijangka melonjakkan industri.
 

Firma penyelidikan itu namun mengurangkan unjuran pendapatan tiga tahun kewangan MPI masing-masing kepada sebanyak 19.4 peratus (FY2025), 17.2 peratus(FY2026) dan 3.9 peratus (FY2027) ekoran keuntungan teras pada 1HFY2025 meleset daripada jangkaan.
 

Pemotongan pendapatan tersebut mencerminkan andaian berlaku jualan dan margin yang lebih rendah disebabkan tempias daripada AS malah selepas disemak unjuran pendapatan, TA Securities mengubah sasaran harga (TP) MPI daripada RM35.80 kepada RM29.30.
 

Angka tersebut berdasarkan kepada pendapatan 30 kali ganda 2025 yang tidak berubah dan tiga peratus premium ESG (amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus),” kata firma berkenaan namun masih mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat itu.
 

Ini tidak termasuk kerugian pertukaran asing sebanyak RM12.7 juta dan item luar biasa serta keuntungan teras 1HFY2025 sebanyak RM75.4 juta yang berada di bawah jangkaan, masing-masing menyumbang 35.4 peratus dan 40.9 peratus daripada anggaran awal.
 

MPI yang merupakan anak syarikat Hong Leong Group bagaimanapun mengekalkan kunci kira-kira yang teguh, dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM967.3 juta pada akhir 2QFY2025 di sebalik berlaku penurunan harga saham sebanyak 19 peratus sehingga kini.
 

Kenanga Investment Bank berkata, para pelabur telah banyak mengurangkan 'prospek' saham MPI dan firma penyelidikan tersebut mengekalkan penarafan 'luar prestasi' ke atas syarikat berkenaan, dengan TP yang diturunkan sebanyak RM26.75 sesaham.
 

Ia percaya bahawa pemain semikonduktor kekal kedudukan baik untuk pertumbuhan dengan memanfaatkan permintaan dipacu AI dan pertumbuhan utama ialah pelaburan jangka panjang masa depan MPI dalam semikonduktor generasi akan datang. - DagangNews.com