Malaysian Pacific diunjur buka ruang pertumbuhan melalui pengambilalihan kilang Infineon di Thailand - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysian Pacific diunjur buka ruang pertumbuhan melalui pengambilalihan kilang Infineon di Thailand - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 NovMalaysian Pacific Industries Berhad dijangka membuka ruang pertumbuhan baharu melalui cadangan pengambilalihan kilang Infineon di Nonthaburi, Thailand, kata TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, peluang strategik pemerolehan aset hartanah baharu berkenaan turut dinilai sebagai sangat menarik oleh pihak pengurusan kumpulan itu dalam jangka masa panjang.


Berdasarkan perkembangan tersebut, ia menaik taraf penarafan saham syarikat berkenaan daripada hanya 'jual' kepada 'pegang', namun dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM33.00 sesaham.


"Pengurusan Malaysian Pacific kekal berhati-hati tetapi optimis terhadap prospek perniagaan, dipacu oleh pemulihan beransur-ansur melalui segmen automotif," kata TA Securities dalam notanya hari ini.


Selain itu jelasnya, lonjakan permintaan kukuh bagi pakej pelayan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), disokong gelombang generatif global turut membantu kumpulan berkenaan lebih mantap.


Jelasnya, pasaran segmen pelayan AI dijangka terus meningkat dalam tempoh suku-suku akan datang berikutan potensi pertumbuhan yang besar terutamanya melibatkan pembangunan banyak pusat data.


Pada masa ini kata TA Securities, segmen industri kekal penyumbang terbesar kepada hasil Malaysian Pacific iaitu 47%, diikuti automotif (34%), komunikasi pengguna (13%) dan komputer riba (5%).


"Pembelian kilang Infineon bernilai RM327.6 juta itu dinilai menarik kerana diperoleh di bawah nilai buku dan mempunyai tanah tambahan yang membolehkan perluasan kapasiti pada masa depan," katanya.


Langkah itu juga mempelbagaikan produk kumpulan, mengukuhkan hubungan strategik dengan Infineon melalui perjanjian bekalan jangka panjang, dan bakal dimuktamadkan pada separuh pertama 2026.


Tambah TA Securities, dengan kedudukan tunai bersih kukuh sebanyak RM1.1 bilion, Malaysian Pacific turut bersedia melabur dalam teknologi baharu bagi meraih banyak peluang pertumbuhan seterusnya.


Ini termasuk kenderaan elektrik (EV), AI, ujian telekomunikasi generasi kelima (5G), pembungkusan termaju dan teknologi pengesanan, selain terus berusaha mencari peluang pengambilalihan aset yang baharu.


"Kami turut menaikkan anggaran pendapatan bagi FY26 hingga FY28 sebanyak 14% selepas mengambil kira unjuran jualan lebih tinggi dalam segmen automotif dan pelayan AI," jelas firma penyelidikan itu.


Bagaimanapun TA Securities mengingatkan risiko seperti permintaan lebih lemah daripada jangkaan, ketegangan geopolitik, pengukuhan ringgit serta lonjakan harga komoditi. - DagangNews.com