Malaysia tolak cadangan pindah paksa keluar warga Palestin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia tolak cadangan pindah paksa keluar warga Palestin

Gambar AFP
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Feb - Malaysia bertegas menolak sekeras-kerasnya sebarang cadangan yang boleh membawa kepada usaha pemindahan atau pengusiran secara paksa rakyat Palestin dari wilayah tanah air mereka itu sendiri.

 

Menerusi kenyataan Kementerian Luar Negeri, tindakan itu tidak berperikemanusiaan dan pembersihan etnik yang jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

 

"Sebarang usaha penyelesaian sebelah pihak dan paksa yang menafikan hak rakyat Palestin adalah tidak boleh diterima, tidak dapat dipertahankan dan hanya memburukkan salah satu konflik paling lama di rantau itu," katanya.

 

Justeru, Malaysia berpendapat, satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan serta kestabilan di Asia Barat adalah melalui penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

 

Langkah berkenaan ujar kenyataan Wisma Putra itu, turut perlu berdasarkan kepada peta sempadan rasmi yang diwartakan sebelum 1967 dengan kota Baitulmaqdis Timur dinamakan sebagai ibu negara yang sah untuk Palestin.

 

"Pendekatan ini masih kekal sebagai pendirian prinsip Malaysia dan sejajar dengan sokongan jangka panjang masyarakat antarabangsa sendiri terhadap bentuk formula penyelesaian dua negara," jelas kementerian tersebut.

 

Malah, Malaysia menegaskan agar semua negara yang belum menyokong penyelesaian tersebut untuk segera mengambil langkah ke arah pengiktirafan sah Negara Palestin dan menyokong keanggotaan penuhnya dalam PBB.

 

Rumusan tersebut kata Wisma Putra, merupakan langkah penting pertama ke arah memastikan proses keselamatan dan keamanan secara jangka panjang bagi rakyat Palestin serta kestabilan keseluruhan rantau Timur Tengah.

 

Kerajaan Malaysia juga menegaskan sokongannya terhadap usaha diplomatik pelbagai hala, termasuk inisiatif digerakkan Global Alliance dan The Hague Group demi keamanan berkekalan melalui penubuhan Negara Palestin.

 

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan satu visi pengambilalihan Gaza yang boleh melaksanakan usaha sangat luar biasa dengan menjadikan wilayah itu sebagai 'Riviera Asia Barat'.

 

Dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, beliau mendakwa kononnya semua pihak yang membincangkan isu Gaza telah ‘menyukai idea AS itu bagi pembangunan wilayah tersebut. - DagangNews.com