KUALA LUMPUR 8 Mei - Malaysia tidak menjual minyak kepada negara anggota ASEAN lain kerana negara ini masih mengimport kira-kira 400,000 tong minyak mentah sehari, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, walaupun Malaysia bernasib baik kerana merupakan negara pengeluar minyak, negara ini masih dianggap sebagai pengimport bersih minyak kerana mengimport sekitar 400,000 tong minyak setiap hari.
“Memandangkan kita masih mengimport kira-kira 400,000 tong sehari, (maka) kita tidak boleh menjual (minyak),” katanya kepada wartawan Malaysia di sini selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-27 dan Mesyuarat Bersama MenteriMenteri Luar dan Ekonomi ASEAN di Cebu, Filipina semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas jika ada negara anggota ASEAN meminta Malaysia menjual minyak susulan krisis bekalan global ketika ini.
Namun begitu, Johari berkata, bagi gas asli cecair (LNG), Malaysia masih merupakan pengeksport bersih.
“Lebihan yang kita peroleh daripada LNG boleh membantu menampung kekurangan dalam minyak mentah,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi Asean ke-27 dan Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi Asean di sini pada Khamis.
Johari memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia ketika ini masih mampu mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter.
Beliau berkata, walaupun Malaysia seperti banyak negara lain turut terkesan dengan konflik berterusan di Asia Barat, impaknya masih terkawal.
“Kita berharap peperangan ini dapat diselesaikan dengan segera, tetapi tiada siapa yang boleh memastikan bila,” tambah beliau. - BERNAMA








