Malaysia terlepas peluang manfaatkan lawatan Trump umum hasrat beli aset pertahanan termasuk helikopter Black Hawk | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia terlepas peluang manfaatkan lawatan Trump umum hasrat beli aset pertahanan termasuk helikopter Black Hawk

Pembelian helikopter Black Hawk jika dibuat tidak merugikan negara kerana aset ini diperlukan ATM.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Lawatan rasmi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia minggu lalu sempena Persidangan ASEAN 2025 memberi kesan besar dalam menandakan fasa baharu hubungan kedua-dua negara.

 

Selain impak dalam bidang ekonomi melalui termeterainya memorandum persefahaman (MoU) pelaburan dan perdagangan, inisiatif lain yang sepatutnya diambil peluang adalah hubungan pertahanan dua hala antara Kuala Lumpur dan Washington.

 

 

 

 

 

 

Bagaimana pun, harapan pemerhati pertahanan tempatan yang mengandaikan kemungkinan ada perbincangan berhubung perolehan pertahanan dengan AS tidak menjadi kenyataan.

 

Antara peluang yang wajar dipertimbangkan oleh kerajaan Malaysia dalam pertemuan dengan Trump ialah menyampaikan hasrat untuk mendapatkan helikopter pengangkut pelbagai guna Sikorsky UH-60 Black Hawk.

 

Helikopter

 

Minat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap Black Hawk ketara apabila tender untuk mendapatkan helikopter tersebut secara sewaan telah dilakukan sebanyak 2 kali oleh Kementerian Pertahanan (Mindef).

 

Terbaru pada Ogos lalu, apabila Bahagian Perolehan Mindef menawarkan kontrak untuk perolehan 4 buah helikopter pengangkut bagi keperluan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) secara sewaan selama 5 tahun.

 

Nilai kontrak ditawarkan ialah pada kira-kira RM185.1 juta.

 

Berdasarkan ciri-ciri umum helikopter tersebut, ia membayangkan mempunyai persamaan sepertimana helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk yang sememangnya diingini Tentera Darat Malaysia (TDM).

 

Helikopter

 

 

Ini menunjukkan TDM memang mahu menilai kesesuaian platform ini secara praktikal.

 

Sejak bertahun-tahun, hubungan pertahanan Malaysia–AS kekal pada tahap operasi dan latihan, tanpa perkembangan ketara dalam aspek perolehan aset strategik. 

 

Aspek pemodenan aset pertahanan Malaysia melalui kerjasama langsung dengan AS masih belum diteroka secara menyeluruh.

 

Terkini adalah sumbangan sebuah kapal peronda terpakai berusia 57 tahun iaitu Ex-USCGC Steadfast bekas kepunyaan US Coast Guard kepada Maritim Malaysia (APMM).

 

Sepertimana diketahui, helikopter Black Hawk telah terbukti keupayaannya dalam pelbagai operasi di seluruh dunia daripada misi tempur, pengangkutan logistik, hingga operasi bantuan kemanusiaan. 

 

Bagi TDM, keperluan terhadap platform seumpama ini bukan lagi satu kehendak, tetapi satu keperluan strategik.

 

Helikopter
Anggota Tentera Darat Malaysia semasa berlatih menggunakan helikopter Black Hawk milik AS.
​​​​​

 

Helikopter

 

Dengan dua wilayah operasi utama iaitu Semenanjung dan Malaysia Timur, TDM memerlukan aset udara yang mampu memberikan keanjalan operasi, kecekapan logistik dan mobiliti taktikal yang tinggi. 

 

Pembelian sekurang-kurangnya 6 buah helikopter Black Hawk akan memberi lonjakan besar kepada kemampuan PUTD.

 

Ini khususnya dalam pengangkutan pasukan khas, misi bantuan bencana, serta pengukuhan kehadiran di kawasan sempadan dan pedalaman Sabah serta Sarawak.

 

Sekiranya kerajaan sekarang serius untuk memodenkan ATM, helikopter Black Hawk versi moden UH-60M atau S-70i buatan Poland merupakan pilihan terbaik.

 

Justeru, keputusan untuk membeli helikopter Black Hawk jika dibuat semasa lawatan Trump dilihat sebagai satu peluang baik untuk memanfaatkan sepenuhnya hubungan strategik.

 

Helikopter

 

Helikopter

 

Helikopter

 

Biarpun mungkin timbul persoalan tentang komitmen besar tanpa bajet mencukupi, ia boleh ditangani sekiranya AS bersedia menawarkan pakej pembelian yang fleksibel.

 

Pada masa sama pembelian Black Hawk tidak mengganggu perolehan secara pajak 28 buah helikopter jenis Leonardo yang telah dibuat kerajaan.

 

Helikopter-helikopter Leonardo ini pula hanya dijangka diterima dalam tempoh 2 tahun lagi.

 

Selain Black Hawk, Malaysia juga wajar menilai semula potensi penambahan helikopter penyerang ringan MD530G yang kini telah terbukti relevan dalam corak operasi moden. 

 

Helikopter lincah buatan AS ini sesuai untuk operasi pantas di kawasan hutan dan bukit bukau, serta berfungsi sebagai aset sokongan udara rapat kepada unit infantri.

 

Helikopter
Helikopter MD530G.

 

Helikopter

 

Penambahan 8 buah MD530G lagi mampu membentuk nukleus PUTD di Malaysia Timur, melengkapkan struktur operasi udara TUDM secara lebih seimbang antara dua wilayah. 

 

Dalam konteks ancaman bukan konvensional seperti penyeludupan, pencerobohan, dan keganasan rentas sempadan, kehadiran aset udara ringan yang tangkas seperti MD530G amat penting bagi meningkatkan keupayaan tindak balas segera.

 

 

 

 

 

 

Lawatan pemimpin besar dunia seperti Presiden Donald Trump seharusnya dilihat bukan sekadar dari lensa ekonomi, tetapi juga dari perspektif keselamatan dan pertahanan negara.

 

Malaysia perlu lebih proaktif dalam menggunakan saluran diplomasi berprofil tinggi ini untuk memperkukuh keupayaan pertahanannya.

 

Ia bukan sahaja demi menjaga kedaulatan negara, tetapi juga untuk memastikan ATM kekal relevan dan berkeupayaan menghadapi cabaran geopolitik serantau yang semakin kompleks. - DagangNews.com