Malaysia, Tajikistan bekerjasama tingkatkan kepakaran statistik moden melalui AI, data raya dan transformasi digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia, Tajikistan bekerjasama tingkatkan kepakaran statistik moden melalui AI, data raya dan transformasi digital

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Mac – Kerajaan Malaysia dan Republik Tajikistan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) selama lima tahun untuk menjalin kerjasama dalam bidang pembangunan kapasiti statistik kebangsaan kedua-dua negara.

 

Majlis pemeteraian MoU itu berlangsung di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, bersempena dengan Sesi Suruhanjaya Statistik PBB ke-57 (UNSC57).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menandatangani MoU mewakili Malaysia manakala Tajikistan diwakili Pengarah Agensi Statistiknya, Nurmahmadzoda Jamshed.

 

Majlis itu disaksikan oleh Duta Besar dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Dr. Ahmad Faisal Muhamad, serta Wakil Tetap Tajikistan ke PBB, Jonibek Hikmat. Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di New York, Norhalilah Abdul Jalil dan Ketua Pengarah SESRIC, Zehra Zümrüt Selçuk.

 

MoU ini menetapkan kerangka kerjasama bagi pertukaran kepakaran profesional, pengalaman operasi, dan amalan terbaik dalam bidang statistik. Ia juga memberi fokus kepada pembangunan modal insan, transformasi digital, integrasi data raya, serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam statistik.

 

Melalui kerjasama ini, kedua-dua negara menyasarkan untuk memperkukuh keupayaan institusi bagi menghasilkan statistik yang berkualiti tinggi, relevan, dan responsif terhadap cabaran dasar serta permintaan global.

 

Kerjasama ini selaras dengan agenda global untuk mengukur kemajuan yang lebih holistik, melangkaui indikator ekonomi tradisional seperti Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan menyokong pembangunan inklusif serta ketelusan.

 

Malaysia turut menzahirkan komitmen melalui Pelan Strategik Jabatan Perangkaan Malaysia 2026–2030, yang menumpukan kepada pengukuhan institusi, transformasi digital, dan kerjasama antarabangsa bagi memastikan Malaysia kekal penyumbang aktif dalam komuniti statistik global.

 

Kolaborasi ini juga menyokong inisiatif SESRIC untuk memperkukuh kapasiti statistik dalam kalangan negara anggota OIC melalui pertukaran pengetahuan, kerjasama teknikal dan pembangunan institusi. 

 

Malaysia dan Tajikistan telah memulakan kerjasama ini dengan sesi perkongsian pengetahuan secara dalam talian pada Januari 2025.

 

Dalam ucapannya, Mohd Uzir berkata sistem statistik yang kukuh adalah tonggak tadbir urus yang baik dan menzahirkan keyakinannya bahawa perkongsian ini akan memperkukuh modal insan, kepakaran teknikal, dan keupayaan institusi untuk memastikan statistik rasmi kekal boleh dipercayai dan relevan.

 

Pemeteraian MoU ini menandakan mercu tanda penting dalam kerjasama dua hala Malaysia-Tajikistan dan memperteguh visi kedua-dua negara untuk menjadikan statistik rasmi sebagai tunjang pembangunan, ketelusan, dan kerjasama antarabangsa dalam ekosistem data global.- DagangNews.com