KUALA LUMPUR 31 Dis — Malaysia Smelting Corporation Berhad melantik Nicolas Chen Seong Lee dan Lam Hoi Khong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan bersama berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Menurut kenyataan kumpulan berkenaan hari ini, pelantikan baharu secara serentak ini susulan persaraan oleh Datuk Dr Ir Patrick Yong Mian Thong daripada jawatan tersebut pada 31 Disember 2025.
Bagaimanapun katanya, tokoh korporat yang berusia 71 tahun itu akan terus kekal dalam Lembaga Pengarah sebagai Penasihat, serta memberikan panduan strategik dan memantau projek baharu syarikat.
"Lembaga menghargai sumbangan dan kepimpinannya yang menyaksikan pelbagai pencapaian penting serta meletakkan asas kukuh pertumbuhan berterusan," maklum Malaysia Smelting kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu jelasnya, dalam struktur kepimpinan baharu, Seong Lee yang sebelum ini ialah Timbalan CEO (Pentadbiran), bakal memberi tumpuan kerja kepada operasi, korporat dan hal ehwal institusi.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan kepujian dari University of London, Britain berusia 52 tahun itu, menyertai Malaysia Smelting pada 1 November 2017 sebagai Pengurus Besar (Projek Khas).
Hoi Khong pula yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan berkenaan akan diberi tugasan untuk pengurusan kewangan, penjualan, pemasaran, komersial dan fungsi tadbir urus.
Beliau yang berusia 54 tahun, ialah lepasan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan) dari University of Southern Queensland, Australia, serta memegang jawatan sedia ada tersebut pada 7 Januari 2019.
Kumpulan itu berkatan, model kepimpinan bersama ini direka bagi perkukuh keberkesanan operasi dan meningkatkan pelaksanaan strategi, sambil memastikan kesinambungan pertumbuhan. - DagangNews.com








