Malaysia, Singapura dan Vietnam ada kelebihan pasaran ekuiti ASEAN dipacu asas ekonomi - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia, Singapura dan Vietnam ada kelebihan pasaran ekuiti ASEAN dipacu asas ekonomi - Maybank IB

Foto AFP
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 JanMaybank Investment Bank mengekalkan pandangan konstruktif terhadap pasaran ekuiti ASEAN bagi tahun ini, dengan Malaysia, Singapura dan Vietnam dilihat memiliki kelebihan.


Ketiga-tiga negara berkenaan kata firma penyelidikan tersebut, disokong oleh asas ekonomi yang berdaya tahan, jangkaan pelonggaran dasar monetari berterusan serta momentum pembaharuan struktur.


Dalam strategi ekuiti ASEAN yang terkini, ia masih memberi penarafan 'overweight' ke atas tiga negara berkenaan, manakala penilaian 'neutral' terus dikekalkan terhadap Indonesia, Thailand dan Filipina.


"Prestasi pasaran yang berbeza pada 2025 menyokong pendekatan 'dua peringkat', dengan fokus kepada pasaran yang menawarkan keterlihatan pertumbuhan dan sokongan dasar lebih kukuh," kata Maybank IB.


Ia berpandangan Malaysia meraih manfaat daripada kitaran pelaburan yang semakin rancak dan sokongan dasar, sementara Singapura pula disebabkan 'premium' secara lebih jelas serta lonjakan kecairan.


Vietnam jelas firma itu, disokong oleh pertumbuhan ekonomi terpantas di rantau ini dan pembaharuan struktur menyeluruh, sebaliknya, Indonesia berdepan pemulihan penggunaan yang lebih perlahan.


Thailand kata Maybank IB, terus dibayangi isu ketidaktentuan politik domestik, manakala Filipina kekurangan 'tema' pelaburan jelas serta berdepan dengan risiko mata wang dan tadbir urus lemah.


"Dari sudut makroekonomi, kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN-6 hanya menyederhana secara kecil kepada 4.6% pada 2026 berbanding 4.8% pada 2025," tambahnya lagi.


Situasi itu disokong perbelanjaan global berkaitan kecerdasan buatan (AI), inflasi rendah sekitar 3%, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) kukuh dan kelebihan tarif relatif berbanding China. 


Maybank IB menjelaskan, pengecualian tarif oleh Amerika Syarikat (AS) bagi sektor elektronik, yang merangkumi sekitar 27% eksport ASEAN, turut menjadi faktor sokongan kepada blok serantau ini.


Dari segi penilaian pula, pasaran ekuiti ASEAN dilihat sebagai menarik, diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) rendah hingga sederhana, dengan purata hasil dividen melebihi 4%.


"Pertumbuhan pendapatan 2026 diunjurkan pada kadar satu digit tinggi, dengan Vietnam dijangka terus mengatasi pasaran lain apabila diramal mencatat pertumbuhan pendapatan sekitar 18%," katanya.


Selain itu, Maybank IB mengenal pasti beberapa tema dijangka menyokong pasaran, termasuk kitaran pelaburan, projek infrastruktur, rantaian bekalan AI dan pusat data (DC), serta sektor pelancongan.


Di samping itu jelas firma tersebut, tumpuan turut diberikan kepada inisiatif pasaran modal di Singapura dan Vietnam, serta perkembangan dasar fiskal dan politik melibatkan Indonesia, Thailand dan Filipina.


Dari sudut sektor, ia menggemari perbankan, telekomunikasi dan penjagaan kesihatan di peringkat serantau, manakala pendekatan lebih selektif diambil terhadap sektor pengguna dan pelancongan.


"Peluang dalam tema AI dan DC, melibatkan syarikat semikonduktor, infrastruktur, tenaga, pembinaan dan hartanah, selain saham bermodal kecil dan sederhana (SMID) juga berpotensi," kata Maybank IB.


Secara keseluruhan, ia menegaskan kombinasi asas ekonomi yang kukuh, penilaian menarik dan pemangkin struktur menjadikan ekuiti ASEAN kekal relevan sebagai destinasi pelaburan pada 2026.


Malaysia, Singapura dan Vietnam tambah firma penyelidikan tersebut, diunjur terus muncul sebagai pasaran pilihan utama di rantau ini. - DagangNews.com