KUALA LUMPUR 11 Mei - Malaysia mungkin perlu melaksanakan pelarasan semula Belanjawan 2026 berikutan peningkatan kos bahan api dan perubahan persekitaran ekonomi semasa yang memberi tekanan terhadap kedudukan fiskal kerajaan, menurut ahli ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keadaan semasa memerlukan kerajaan menilai semula unjuran dan hala tuju belanjawan memandangkan senario semasa tidak diambil kira ketika Belanjawan 2026 dibentangkan pada Oktober tahun lalu.
Beliau berkata, inflasi dan pertumbuhan ekonomi kekal sebagai petunjuk makroekonomi utama yang memerlukan pendekatan seimbang dalam pelaksanaan dasar fiskal dan monetari.
“Subsidi penting untuk memastikan harga kekal rendah secara buatan, manakala bantuan tunai mampu meningkatkan pendapatan boleh guna dalam tempoh segera.
“Namun, kerajaan kini terpaksa menyesuaikan semula peruntukan subsidi berikutan kos bahan api yang terus meningkat,” katanya lapor Business Times.
Menurut beliau, peningkatan kos subsidi dijangka terus memberi tekanan kepada kewangan kerajaan sekiranya harga tenaga global kekal tinggi.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md Razak berkata, Malaysia perlu mencapai keseimbangan berhati-hati antara mengekalkan momentum pertumbuhan dan mengawal inflasi menerusi gabungan dasar yang bersasar serta terukur.
Beliau berkata, langkah pengetatan dasar secara menyeluruh dalam situasi kejutan tenaga berisiko memperlahankan ekonomi dengan lebih ketara, manakala rangsangan berlebihan pula boleh memburukkan tekanan inflasi.
“Pendekatan lebih berkesan adalah membenarkan sedikit pelarasan harga sambil melindungi golongan rentan melalui sokongan fiskal bersasar dan mengekalkan dasar monetari yang akomodatif tetapi berhati-hati.
“Ini penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terus mampan tanpa membiarkan jangkaan inflasi menjadi berakar umbi,” katanya.
Mohamad Idham berkata, subsidi bahan api yang dilaksanakan ketika ini semakin mahal dan kurang mampan dalam keadaan pasaran tenaga global yang tidak menentu.
Menurut beliau, subsidi menyeluruh juga dilihat lebih banyak memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi selain meningkatkan tekanan terhadap kedudukan fiskal negara.
“Reformasi pada masa depan perlu memberi fokus kepada subsidi bersasar berdasarkan pendapatan atau penggunaan, selain memperkukuh mekanisme penyampaian menerusi pendigitalan dan pengurangan subsidi pukal secara berperingkat,” katanya. - DagangNews.com








