Malaysia mampu tarik pelaburan RM637 bilion dalam teknologi hijau menjelang 2050 - Fadillah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia mampu tarik pelaburan RM637 bilion dalam teknologi hijau menjelang 2050 - Fadillah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Ogos — Malaysia dijangka mampu menarik pelaburan langsung yang bernilai RM637 bilion dalam pelbagai teknologi hijau, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

 

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, potensi berkenaan turut meliputi tenaga boleh diperbaharui (RE) selain mewujudkan 310,000 pekerjaan menjelang 2050.

 

Kerajaan juga tambah beliau, telah menetapkan ekuiti pemilikan tempatan dalam semua projek RE dilaksanakan paling minimum 51 peratus bagi memberi peluang pekerja tempatan berkemahiran tinggi.

 

 

 

 

 

 

 

 

"Ini memastikan pemindahan teknologi dan usaha itu merangkumi semua inisiatif kerajaan termasuk Program Solar Berskala Besar, Program Tarif Galakan, Program Skim Bekalan RE Korporat," katanya.

 

Fadillah berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (Perikatan Nasional-Rompin) di Dewan Rakyat yang ingin mengetahui perancangan jangka panjang Petra.

 

Ahli Parlimen itu bertanyakan apakah usaha kerajaan dalam menarik pelaburan langsung asing melalui teknologi hijau dan sektor ekonomi kitaran yang berkaitan dengan isu tenaga serta air.

 

Selain itu, Abdul Khalib mahu penjelasan kesan jangkaan terhadap penciptaan peluang pekerjaan yang berkemahiran tinggi dan usaha pemindahan teknologi asing kepada tenaga kerja tempatan.

 

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Petra akan menumpukan usaha memperkukuh inisiatif RE sedia ada untuk memberikan kepastian, insentif dan pilihan bekalan elektrik hijau secara lebih luas.

 

Langkah berkenaan tambah beliau, dijangka menawarkan banyak manfaat kepada pemain industri dan ia mampu menjadi faktor menarik pelabur untuk melabur dalam rantaian nilai industri RE negara.

 

Kata beliau, antara usaha yang akan diteruskan termasuk memperkukuh pelaksanaan Program Solar Berskala Besar sebagai salah satu inisiatif penjana untuk menarik pelaburan dalam sektor RE.

 

“Kerajaan juga akan terus melaksanakan mekanisme tarif galakan dan Program Penjanaan Tenaga Karbon Rendah sebagai program khusus meraih pelaburan dalam bidang sumber bukan solar," katanya.

 

Selain itu tambah Fadillah, Petra akan memperkemas pelaksanaan Skim Bekalan RE Korporat (CRESS) bagi membolehkan syarikat yang melabur di negara ini mendapatkan bekalan elektrik hijau.

 

 

 

 

 

Mereka katanya, boleh memilih daripada penjana RE tertentu secara langsung, di samping syarikat utiliti untuk memenuhi komitmen ketat kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Beliau berkata, kerajaan juga terus menyediakan insentif cukai, Elaun Cukai Pelaburan Hijau dan Pengecualian Cukai Pendapatan serta kenaikan tarif minimum kepada pengguna. - DagangNews.com