KUALA LUMPUR 10 Sept – Malaysia dijangka mampu meraih lebih AS$40 bilion (RM169.2 bilion) dalam pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data (DC) menjelang 2030, kata Robert Walters.
Firma penyelidikan antarabangsa tersebut menambah, pencapaian berkenaan sekiranya dicapai sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penyumberan luar bernilai tinggi di Asia Tenggara.
Katanya, pelaburan besar ini dipacu oleh ramai pemain teknologi global yang bakal merangsang permintaan bakat tempatan dalam bidang awan, kejuruteraan data, sains data, analitik dan keselamatan siber.
“Gabungan pelaburan teknologi tinggi serta sokongan berterusan menjadikan Malaysia lokasi strategik operasi perniagaan serantau dan global,” kata Ketua Perisikan Pasaran Robert Walters, Phill Brown.
Perkembangan pesat ini turut dikukuh melalui pelaksanaan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030, dengan RM13.29 bilion pelaburan diluluskan dalam 1H2025, mencipta hampir 7,000 peluang pekerjaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Penyumberan Luar Robert Walters, David Barr, pendekatan kini lebih berfokus kepada kualiti, daya tahan dan keupayaan teknikal berbanding semata-mata penjimatan kos.
Beliau menambah penguasaan bahasa Inggeris, kepakaran teknologi dan fokus kemahiran masa depan menjadikan Malaysia destinasi ideal syarikat global yang mahu menyepadukan operasi berasaskan AI.
"Kajian kami merujuk banyak contoh peralihan besar dalam model penyumberan luar global, daripada hanya memindahkan fungsi kos rendah kepada penyahpusatan operasi yang berkemahiran tinggi," katanya.
Tambahnya, sebahagian besar syarikat antarabangsa memilih untuk berpindah ke lokasi seperti Malaysia yang dikenal pasti memiliki lengkap banyak infrastruktur digital mantap dan tenaga kerja berkemahiran.
Mengulas mengenai anggaran potensi nilai pelaburan itu ke negara ini kata Robert Walters, ia diperoleh daripada analisis pelbagai pelaburan AI dan DC di Malaysia yang direkodkan antara 2023 hingga 2025.
Perkembangan itu termasuk projek diumumkan, dirancang dan dikontrak dengan nilai tidak didedahkan, manakala mata wang diukur berdasarkan kadar rasmi setiap pengumuman. - DagangNews.com








