KUALA LUMPUR 29 Mei — Malaysia memperkukuh usaha ke arah ekosistem penerbangan lestari apabila secara rasmi melancarkan projek rintis penggunaan biodiesel sawit B20 melibatkan kenderaan perkhidmatan darat (GSE) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Langkah itu hasil inisiatif Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dengan turut mendapat kerjasama daripada Petronas Dagangan Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Syarikat Teras Kembang Sdn Bhd.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha strategik itu bermula Februari 2025 dengan tiga syarikat tersebut berperanan masing-masing sebagai pengendali stesen minyak, operator lapangan terbang dan pembekal biodiesel berasaskan 20 peratus sawit.

"Pelaksanaan projek ini melengkapkan keseluruhan rantaian bekalan bahan api bio di KLIA selepas pesawat komersial dan menjadi detik bersejarah kerana buat julung kali, B20 digunakan sektor industri perkhidmatan darat di lapangan terbang di Malaysia," katanya.
Beliau berucap merasmikan Majlis Peluncuran Projek Rintis Penggunaan Biodiesel Sawit B20 bagi GSE serta menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian yang melibatkan tiga syarikat tersebut dan demonstrasi pengisian minyak tersebut di stesen Petronas KLIA hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha; Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani; dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Othman Rani.

Sehingga kini, sebanyak lima syarikat pengendali GSE telah menyatakan minat menyertai projek tersebut dengan unjuran penggunaan sekitar 40,000 liter biodiesel B20 sebulan.
Perkembangan itu dijangka mampu mengurangkan sehingga 13 peratus pelepasan gas rumah kaca (GHG), yang bersamaan penyusutan sebanyak 105 tan karbon dioksida setara (CO2e) setahun sekiranya dibandingkan dengan penggunaan minyak diesel konvensional.
Mengulas lanjut, Johari berkata, di peringkat KPK, Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN 2030) dirangka sebagai panduan strategik bagi semua komoditi utama negara dengan antara digariskan ialah penggunaan biodiesel sawit B30 dalam sektor pengangkutan menjelang 2030.

"Walaupun pelaksanaannya berdepan dengan banyak cabaran tertentu, pihak kementerian itu masih komited untuk memperluaskan penggunaan biodiesel demi kelestarian alam sekitar serta manfaat jangka panjang kepada seluruh rakyat dan industri," kata beliau.
Menurutnya, Program Biodiesel Negara dilaksanakan secara komersial sejak 2011, yang bermula dengan program B5 dan seterusnya B7 secara berfasa dalam sektor pengangkutan sebelum B10 di sektor tersebut dilaksanakan secara mandatori bermula 1 Februari 2019.
Ia diikuti program B7 di sektor industri pada 1 Julai 2019 dan program B20 bagi sektor pengangkutan pula bermula Januari 2020 di Langkawi, Labuan dan Sarawak (kecuali Bintulu).

Industri sawit katanya, antara tonggak utama pembangunan ekonomi negara yang menyumbang kira-kira tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan RM114 bilion nilai eksport dengan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) mencecah 19.3 juta tan tahun lalu.
"Sumbangan ini bukan sahaja dalam bentuk hasil ekonomi, malah turut memberi nilai tambah dari segi tenaga alternatif yang mampan serta boleh diperbaharui," katanya.
Penggunaan biodiesel juga seiring dengan sasaran Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk mencapai pelepasan karbon neutral bagi sektor penerbangan antarabangsa menjelang 2050, berasaskan tahap pelepasan pada 2021. - DagangNews.com








