KUALA LUMPUR 14 April — Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai negara yang pertama di rantau Asia Tenggara menerajui Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) bersempena dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, inisiatif pembangunan modal insan serantau tersebut dirancang dengan pelbagai aktiviti menarik selama tempoh setahun di bawah Malaysia.
Ia katanya, diterajui sendiri oleh kementerian berkenaan melalui Human Resource Development Corporation sebagai menandakan usaha kolektif kesemua anggota ASEAN untuk memperkasakan bakat dan tenaga kerja serantau.
"AYOS 2025 disusun dengan teliti yang melibatkan banyak aktiviti pembangunan kemahiran dan latihan pembelajaran sepanjang hayat di seluruh rantau ini secara terbuka disertai individu daripada semua latar belakang," katanya.
Beliau berucap demikian sebagai mewakili Menteri, Steven Sim Chee Keong melancarkan program julung kali itu di sini hari ini, yang turut disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

Bertemakan 'Merapatkan Bakat, Membina ASEAN', AYOS 2025 turut mendapat kerjasama daripada Sekretariat ASEAN dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi Rantau Asia Pasifik dengan bertujuan meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
"AYOS diharap membina bakat serantau melalui kerjasama dalam kalangan anggota ASEAN serta memberi tumpuan meningkatkan mobiliti buruh, menangani jurang serantau dan menyediakan belia peluang kerja masa hadapan," kata Azman.
Malaysia kata beliau, mahu AYOS yang mengambil model Tahun Kemahiran Eropah dan Tahun Kemahiran Afrika akan menjadi seruan untuk bertindak agar kerajaan, industri, institusi dan masyarakat bersatu membina tenaga masa depan.
Ia juga katanya, dibina berdasarkan kepada lima objektif utama antaranya bagi merapatkan jurang kemahiran sedia ada setiap negara anggota serta menggalakkan mobiliti bakat untuk memudahkan ketangkasan tenaga kerja.
"Kita mahu memastikan pertumbuhan inklusif dan memartabatkan setiap komuniti; mengukuhkan kerjasama serantau untuk kemakmuran bersama; serta meningkatkan perkongsian awam-swasta yang membuktikan imej tenaga kerja kita,” kata Azman.
Selain itu katanya AYOS disandarkan dalam tiga aspirasi utama iaitu memperkasakan tenaga kerja kepada keupayaan sedia masa depan, melengkapkan belia dengan daya tahan kerjaya, dan membolehkan industri kekal berdaya saing. - DagangNews.com








