KUALA LUMPUR 24 Feb — Eksport minyak sawit ke China akan terus kekal 'berdaya tahan' pada tahun ini di sebalik peralihan corak pembelian minyak pengguna di negara itu, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.
Ia susulan kemerosotan direkodkan sepanjang 2024 lalu berikutan harga kacang soya yang lebih rendah dan trend penurunan penggunaan minyak masak, selain faktor jumlah penduduknya mulai berkurangan dan ramai pula semakin berusia tua.
"Tingkah laku pengguna juga berubah dengan mereka kini lebih mementingkan kesihatan dan situasi ini telah menjejaskan pola corak pembelian di negara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas forum minyak dan lemak Malaysia-China.
China merupakan pengimport kedua terbesar minyak sawit Malaysia selepas India. Mengulas lanjut, Foong Hin namun berkata bahawa eksport minyak isirong sawit ke China pula meningkat tahun lepas berikutan pertambahan permintaan.
"Minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke China mencapai nilai RM10.57 bilion dengan bekalan eksport minyak isirong menyaksikan peningkatan 40 peratus, terutama industri oleokimia China untuk pengeluaran surfaktan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir mengakui premium minyak sawit berbanding minyak soya akan terus menjadi cabaran dalam menarik permintaan tetapi kekal optimistik.
“Jika eksport ke pasaran China didapati masih tidak juga meningkat (pada tahun ini), kita berharap akan dapat terus mengekalkan lagi jumlah eksport yang kita pernah buat sepanjang tahun lepas,” katanya.
Menurut data diterbitkan MPOB, eksport minyak sawit Malaysia ke China berjumlah 1.39 juta tan pada 2024, iaitu turun sebanyak 5.3 peratus berbanding rekod tahun sebelumnya.
Eksport produk komoditi tersebut ke China dilaporkan sangat bergantung kepada faktor harga kerana negara berkenaan adalah pasaran yang cukup sensitif harga. - DagangNews.com








