KUALA LUMPUR 27 Mei — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari China, Li Qiang pada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China.
Pertemuan tersebut menurut beliau, bertujuan untuk mengukuhkan lagi pelbagai kerjasama strategik yang melibatkan kedua-dua negara demi kepentingan bersama.
Anwar berkata Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, menghargai komitmen China untuk mengukuhkan kerjasama serantau serta hubungan dua hala, terutama dalam menghadapi cabaran global semasa dan perubahan geopolitik.
"Sinergi antara dua negara penting untuk dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi, projek infrastruktur dan pengangkutan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), menangani pertikaian di Laut China Selatan, mengemas kini perkembangan perjanjian Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), industri halal dan perdagangan,” katanya dalam catatan Facebooknya hari ini.
Anwar menambah, persidangan itu mencerminkan usaha Malaysia dalam menerajui perkumpulan dengan tujuan memperkukuhkan integrasi, memacu kerjasama ekonomi dan menangani isu serantau secara diplomatik dan pragmatik.
Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bermula di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025.
Pada hari ini, dua mesyuarat peringkat tinggi, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan, bertujuan mengukuhkan kerjasama serantau serta antara wilayah.
Persidangan tersebut menghimpunkan para pemimpin dari negara anggota untuk membincangkan perkembangan serantau dan melakar hala tuju masa depan kumpulan serantau itu.
Ini menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015. - DagangNews.com








