Malaysia digesa tambah baik dasar, piawaian tarik pelabur Eropah - Eurocham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia digesa tambah baik dasar, piawaian tarik pelabur Eropah - Eurocham

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 OktDewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (Eurocham) menggesa Malaysia memperkukuh ketelusan peraturan, penyelarasan piawaian produk serta kecekapan prosedur kastam.


Ketua Pegawai Eksekutif Eurocham Malaysia, Karl Godderis berkata, langkah tersebut perlu bagi meningkatkan daya saing negara ini sebagai hab pelaburan serantau untuk syarikat-syarikat Eropah.


Beliau menekankan isu ketidakpastian peraturan kerajaan kekal sebagai halangan utama perancangan jangka panjang perniagaan syarikat Kesatuan Eropah (EU), terutama apabila berlaku perubahan besar.


Ini jelasnya, termasuk penetapan semula tarif elektrik atau pelaksanaan cukai baharu seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diumumkan tanpa ada rundingan awal bersama para pelabur asing.


“Dalam banyak kes, rundingan hanya berlaku selepas peraturan diumumkan. Ini menjejaskan keyakinan pelabur dan menyukarkan syarikat EU untuk menyesuaikan operasi secara efektif,” kata Godderis.


Menurut kaji selidik Eurocham ke atas syarikat Eropah di Malaysia, antara cabaran utama dikenal pasti ialah ketidaksesuaian piawaian produk menyebabkan ujian berulang dan kos pematuhan bertambah.


Prosedur kastam yang kurang cekap turut menyukarkan pergerakan barangan, seperti pengilang komponen automotif Eropah di Malaysia perlu ujian tambahan walaupun produk memenuhi piawaian ketat Eropah.


“Penyelarasan dari segi piawaian yang lebih seragam sebenarnya turut akan mempercepatkan integrasi para pengeluar Malaysia ke dalam rantaian bekalan global sendiri,” ujar Godderis.


Walaupun Malaysia kekal destinasi pelaburan eksport menarik terutama dalam semikonduktor, peranti perubatan dan jentera, Eurocham berpandangan negara masih dibayangi beberapa kelemahan struktur.


Justeru beliau memberi beberapa cadangan penambahbaikan antaranya disediakan platform rundingan awal dengan pelabur asing sebelum penggubalan dasar dan menyusun semula struktur tarif elektrik.


Godderis turut menekankan tarif elektrik industri di Malaysia lebih tinggi berbanding pengguna domestik, bertentangan dengan trend global yang pengguna industri biasanya menerima diskaun volume.


“Kami faham keperluan melindungi isi rumah berpendapatan rendah, tetapi dasar bersasar perlu untuk menyokong industri intensif tenaga, khususnya beralih ke tenaga boleh diperbaharui (RE),” jelasnya.


Eurocham tambah beliau, juga mencadangkan model pembiayaan kesihatan nasional yang lebih mampan dan dilaksanakan secara inklusif, memandangkan sistem sedia ada dilihat terlalu banyak ada pecahan.


Dasar kos berkenaan kata Godderis, sering dipindahkan daripada pihak kerajaan kepada pelbagai syarikat insurans, hospital dan pembekal farmaseutikal untuk bebas menentukan caj kepada pesakit.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pendekatan yang lebih strategik dan holistik untuk memberi banyak ruang 'bernafas' kepada perkembangan seluruh ekosistem penjagaan kesihatan awam.


"Kami melihat boleh ada peningkatan kerana pada 2024, dagangan dua hala berjumlah RM218.9 bilion, melibatkan eksport RM115.8 bilion dan import RM103.1 bilion meliputi pelbagai produk," katanya.


Bagi tempoh 2021 hingga 2024, pelaburan diluluskan dari EU ke sektor pembuatan dan perkhidmatan Malaysia mencecah RM198.2 bilion, menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).


Secara keseluruhan, Eurocham menyeru pembuat dasar agar memperkemas peraturan sedia ada untuk memperkukuh keyakinan pelabur asing, jika Malaysia ingin menjadi hab serantau sebenar. - DagangNews.com