KUALA LUMPUR 4 Mei – Risiko kebocoran data korporat kini semakin membimbangkan apabila serangan 'spyware' atau perisian pengintipan di Malaysia naik 75% kepada 194,692 kes sepanjang tahun lalu.
Menurut Kaspersky, sebanyak 818,939 serangan itu berjaya digagalkan di Asia Tenggara pada 2025 berbanding kira-kira 695,425 yang dicatatkan syarikat keselamatan siber global itu pada 2024.
Kumpulan yang ditubuhkan sejak 1997 dengan hampir 200,000 pelanggan tersebut mendedahkan, situasi kali ini mencerminkan peningkatan ketara ancaman terhadap rangkaian korporat di rantau ASEAN.
"Secara keseluruhan, Asia Tenggara mencatatkan peningkatan 18%, dengan Singapura naik paling besar iaitu 111%, diikuti Filipina (85%), Indonesia (35%) dan Vietnam (8%)," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun ujar syarikat berkenaan, Thailand pula muncul sebagai satu-satunya negara dalam enam negara yang dinilai, berjaya mencatatkan penurunan sebanyak 53% kepada hanya 52,906 kes pada 2025.
Menurut Pengurus Besar ASEAN dan Negara-Negara Muncul Asia Kaspersky, Simon Tung, ancaman 'spyware' kini sudah berubah daripada sekadar gangguan operasi kepada pengumpulan risikan strategik.
Perisian itu dipasang secara tersembunyi bagi mengumpul data pengguna, termasuk komunikasi dalaman dan maklumat sulit, sekali gus membuka ruang kepada pelanggaran data dan penyalahgunaan maklumat.
“Kita kini memasuki era dengan penyerang siber menyasarkan maklumat sensitif syarikat, menjadikan rangkaian korporat sebagai sasaran utama untuk mendapatkan data yang bernilai tinggi,” katanya.
Kaspersky turut mendedahkan kempen pengintipan siber dikenali sebagai 'Operation ForumTroll' yang ditemui pada Mac 2025, menyasarkan organisasi sektor media, kerajaan, pendidikan dan kewangan.
Serangan itu menggunakan e-mel pancingan data serta mengeksploitasi kelemahan ‘zero-day’ pelayar Chrome untuk menyusup ke sistem sebelum memasang perisian pengintipan seperti LeetAgent dan Dante.
Ujarnya, 'spyware' kini direka untuk beroperasi secara senyap dan berterusan, membolehkan penyerang dapat memantau aktiviti organisasi serta mengekstrak maklumat strategik dalam jangka masa panjang.
“Dalam persekitaran ekonomi dan geopolitik tidak menentu, maklumat ini sangat bernilai, serta boleh menjejaskan kepercayaan, daya saing atau keselamatan operasi sesebuah organisasi,” tambah Tung.
Justeru katanya, syarikat disaran mengukuhkan pertahanan siber termasuk mengemas kini perisian secara berkala, mengawal akses rangkaian, serta melaksanakan sandaran data dengan konsisten.
Di samping itu, Kaspersky yang kini melindungi lebih satu bilion peranti di seluruh dunia, turut mengesyorkan penggunaan rumusan keselamatan yang berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pelanggan korporat yang berisko juga boleh mendapatkan perkhidmatan keselamatan disediakan syarikat itu bagi menangani ancaman siber yang semakin kompleks. - DagangNews.com








