KUALA LUMPUR 10 Sept – Malaysia mencatat aliran keluar bersih pelaburan portfolio asing sebanyak RM400 juta pada Ogos 2025, menunjukkan penurunan ketara berbanding RM6.5 bilion pada Julai 2025.
Menurut UOB Global Economics Research, perubahan itu didorong oleh minat semula pelabur asing terhadap sekuriti hutang domestik, yang merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM3 bilion.
Bagaimanapun tambah firma penyelidikan tersebut, aliran masuk ini diimbangi oleh jualan bersih secara berterusan dalam pasaran ekuiti oleh para pelabur asing, yang berjumlah RM3.4 bilion.
"Secara kumulatif bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, Malaysia mencatat aliran masuk portfolio asing bersih mencecah sebanyak RM2.5 bilion," kata firma itu dalam nota kajiannya hari ini.
UOB Global menambah, situasi itu dipacu oleh perkembangan aliran masuk kukuh dalam sekuriti hutang bernilai RM19 bilion, yang berjaya mengimbangi pula aliran keluar ekuiti sebanyak RM16.5 bilion.
Trend berkenaan katanya, mengukuhkan pandangan yang aliran modal ke pasaran negara sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, dijangka kekal tidak sekata dan terpilih dalam jangka terdekat.
Keadaan tersebut disebabkan pelbagai ketidaktentuan luaran, antaranya ketegangan geopolitik global semakin meningkat dan kebimbangan terhadap kebebasan dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).
"Kami juga mengenal pasti faktor kemungkinan tarif baharu diumum oleh Presiden AS, Donald Trump serta ketidaktentuan berterusan dalam rundingan perdagangan antara AS dan China," kata UOB Global.
Pergerakan tidak stabil pasaran tukaran asing (forex) juga dijangka meningkat sebelum 2026, dengan pelabur diramal lebih berhati-hati terhadap penilaian semula aset dan pertukaran dana serantau.
Ia turut menilai rizab rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) naik untuk bulan kelima berturut-turut, daripada AS$1.4 bilion kepada AS$122.7 bilion akhir Ogos 2025, paras tertinggi sejak November 2014.
Sementara itu kata UOB Global, kedudukan jualan bersih BNM dalam forex merosot bagi bulan keenam berturut-turut, kepada AS$21.2 bilion pada Julai 2025, dan paras yang terendah sejak Ogos 2024.
"Kami turut jangka penurunan berterusan dolar AS akan memberi sokongan kepada mata wang serantau, termasuk ringgit, selaras kitaran penurunan kadar faedah AS yang dijangka disambung," katanya.
Firma itu menjangka kadar tukaran dolar AS dan ringgit akan terus menurun secara berperingkat dalam suku akan datang dipacu oleh asas makroekonomi yang kukuh dan faktor kestabilan kewangan Malaysia.
Pada masa sama, UOB Global turut menyenaraikan beberapa acara penting yang bakal mempengaruhi pasaran antaranya pembentangan Belanjawan 2026 Malaysia pada 10 Oktober 2025. - DagangNews.com








