KUALA LUMPUR 9 April — Malaysia sedang berusaha meningkatkan eksport automotif bagi mengurangkan defisit perdagangan selama empat dekad dalam sektor itu, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri.
Beliau berkata, 'bantuan' boleh datang dari negara yang tidak dijangka iaitu Amerika Syarikat (AS) kerana tarif timbal balik yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump lebih tinggi untuk Thailand dan Indonesia, dua pengeluar kenderaan terbesar di rantau Asia Tenggara sendiri.
Perkembangan tersebut katanya, telah meletakkan Malaysia sebagai 'lebih baik' tetapi beliau tidak menghuraikan dengan lebih terperinci berhubung langkah untuk meningkatkan eksport automotif negara ini sambil menyokong lebih 700,000 pekerjaan di seluruh rantaian nilai.
"Usaha penggalakkan eksport adalah salah satu strategi utama MITI, di samping menarik pelaburan asing ke dalam negara dan mengatasi halangan bukan tarif," kata Hanafi pada majlis pelancaran Jetour Dashing, iaitu jenama di bawah kumpulan automotif Chery dari China.
Jurang perdagangan dalam sektor automotif Malaysia telah berterusan selama lebih 40 tahun dengan import berjumlah RM54.33 bilion pada 2024, jauh melebihi RM15.96 bilion dalam eksport kasar untuk kenderaan bermotor, motosikal serta alat ganti dan komponen.
Pentadbiran AS telah mengenakan tarif menyeluruh sebanyak 24 peratus ke atas sebahagian besar barangan yang diimport dari Malaysia berbanding 36 peratus untuk Thailand dan 32 peratus terhadap Indonesia, yang kesemuanya berkuat kuasa pada hari ini.
Malaysia merupakan 'rumah' kepada hampir 40 pengeluar dan lebih daripada 700 pengeluar komponen. Sektor itu, daripada proses pembuatan kepada perkhidmatan selepas pasaran, menyumbang kira-kira lima peratus kepada keseluruhan pengeluaran ekonomi Malaysia.
"Lebih banyak usaha masih diperlukan untuk meningkatkan eksport kita," kata Hanafi yang juga merujuk terdapat sejumlah 16 perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang ditandatangani oleh Malaysia dengan pelbagai negara dan sedang berkuat kuasa setakat ini.
Beliau menggambarkan bahawa pemeteraian FTA tersebut sebagai boleh menyediakan syarikat tempatan kepada akses pasaran eksport yang luas dan peluang perdagangan dengan lebih besar tanpa perlu terlalu bergantung kepada AS sendiri.
Sementara itu, beliau dimaklumkan bahawa Jetour merancang menempatkan lebih 40 peratus daripada pengeluarannya di Malaysia, salah satu pasaran automotif terbesar di Asia, dan mengukuhkan rantaian bekalan tempatan serta mewujudkan peluang untuk vendor domestik.
Syarikat berkenaan juga menyasarkan untuk mengeksport kepada negara-negara serantau dari Malaysia, yang sejajar dengan cita-cita negara ini untuk menjadi pengeksport utama automotif di ASEAN, tambah Hanafi. - DagangNews.com








