Malaysia berpotensi raih keuntungan ekonomi susulan pelantikan semula Donald Trump, kata KSI dan ECKL | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia berpotensi raih keuntungan ekonomi susulan pelantikan semula Donald Trump, kata KSI dan ECKL

Gambar: AFP
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Jan - Malaysia dijangka dapat merebut peluang besar susulan pelantikan semula Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), terutamanya dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan meningkatkan potensi eksport.

 

Menurut KSI Strategic Institute for Asia Pacific dan Economic Club of Kuala Lumpur (ECKL), dengan rancangan Trump untuk mengenakan tarif 10% ke atas barangan China bermula 1 Februari 2025, syarikat-syarikat yang ingin memindahkan barisan pengeluaran mereka ke negara lain mungkin akan beralih ke Malaysia.

 

"Sebagai pengeksport utama produk elektronik dan komponen ke AS, langkah tersebut mungkin memberi kesan kepada daya saing eksport untuk Malaysia. 

 

"Bagaimanapun, dengan syarikat-syarikat yang ingin mempelbagaikan rantaian bekalan mereka daripada China, industri semikonduktor Malaysia yang menguasai kira-kira 13% pasaran global dalam pembungkusan cip dan ujian, mungkin akan menarik pelaburan yang lebih banyak," kata KSI dan ECKL dalam kenyataan berdasarkan satu analisis.

 

Katanya, ketegangan perdagangan AS-China yang semakin meningkat di bawah dasar Trump dijangka mempercepatkan strategi 'China Plus One', di mana syarikat-syarikat mempelbagaikan asas pengeluaran mereka di luar China.

 

"Malaysia berpeluang untuk mendapat manfaat daripada peralihan ini, dengan kemungkinan peningkatan FDI, terutamanya dalam sektor elektronik, mesin dan minyak sawit. 

 

"Potensi pelaburan ini dijangka menyumbang tambahan RM19.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dalam tempoh empat tahun, bersamaan dengan kenaikan satu peratus," ujarnya.

 

Kenyataan itu juga menekankan potensi kesan dasar tenaga Trump, dengan sokongannya terhadap sektor tenaga tradisional, termasuk bahan api fosil, yang mungkin menyebabkan peningkatan pengeluaran dan eksport AS. 

 

"Bagi Malaysia yang merupakan pengeksport minyak bersih, ini mungkin akan menyebabkan penurunan harga tenaga global, yang mempengaruhi hasil daripada eksport bahan api mineral," jelasnya.

 

Namun, KSI dan ECKL berkata, syarikat petroleum Malaysia boleh mencari peluang baharu jika AS mengurangkan insentif tenaga boleh diperbaharui, yang mungkin akan meningkatkan permintaan terhadap sumber tenaga tradisional.

 

KSI dan ECKL berkata, pelantikan semula juga mungkin membawa cabaran yang memerlukan respons dasar yang berhati-hati dan proaktif untuk melindungi kestabilan ekonomi. 

 

Mereka menyebut kekuatan domestik Malaysia, termasuk ekonomi yang pelbagai, kedudukan strategik global, infrastruktur yang kukuh, tenaga kerja mahir dan sistem kewangan yang teguh.

 

"Pembuat dasar perlu memanfaatkan kekuatan ini dengan mempelbagaikan perkongsian perdagangan, menarik FDI, meningkatkan pendigitalan dan membina ketahanan dalam sektor-sektor utama. 

 

"Dengan mengambil langkah proaktif, Malaysia dapat mengurangkan impak negatif daripada dasar-dasar Trump dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang stabil," katanya.

 

KSI dan ECKL juga menambah, gabungan tarif AS dan cabaran ekonomi domestik China dijangka memberi tekanan kepada ekonomi Malaysia, terutamanya dalam sektor pembuatan yang berasaskan eksport serta sektor elektrik dan elektronik.

 

"Walaupun berdepan cabaran, kedudukan strategik dan asas ekonomi Malaysia menyediakan penampan terhadap kesan buruk yang mungkin berlaku," katanya. - DagangNews.com