Malaysia berminat teroka kerjasama bangunkan kepakaran dalam nadir bumi dengan India | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia berminat teroka kerjasama bangunkan kepakaran dalam nadir bumi dengan India

Gambar Hiasan / AFP
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Mei - Malaysia berminat untuk meneroka kemungkinan bekerjasama dengan India dalam industri nadir bumi, menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

 

Kementerian itu berkata, India mempunyai kepakaran luas menerusi Indian Rare Earths Ltd, dan Malaysia berhasrat mempelajari model operasi serta teknologi pemprosesan peringkat pertengahan (midstream) daripada negara itu.

 

“Kerjasama ini dijangka melibatkan aspek pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti pakar tempatan,” kata kenyataan itu.

 

Kenyataan tersebut susulan kunjungan hormat delegasi India ke kementerian itu diketuai Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, BN Reddy. Delegasi India itu disambut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh.

 

indianres
Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, BN Reddy menerima cenderahati daripada Syed Ibrahim Syed Noh.

 

Industri nadir bumi ketika ini didominasi oleh China yang memproses kira-kira 90% bijih nadir bumi global, manakala Malaysia berminat memanfaatkan rizab mineral tersebut yang penting bagi industri teknologi tinggi moden, tenaga hijau dan sistem ketenteraan.

 

Malaysia kini menempatkan fasiliti penapisan nadir bumi terbesar di dunia di luar China menerusi syarikat berpangkalan di Australia, Lynas Rare Earths.

 

Pertemuan bersama Reddy turut membincangkan persiapan kerjasama dengan National Biodiversity Authority of India berkaitan rangka kerja “Access and Benefit Sharing”, selain pembangunan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada Jun ini, menurut kementerian itu.

 

“Malaysia dan India kekal komited dalam memastikan rantaian bekalan mineral yang berdaya tahan serta usaha pemuliharaan alam sekitar yang inklusif demi kemakmuran bersama di rantau ini,” tambah NRES.

 

Selain itu, Malaysia turut mempelawa delegasi India memanfaatkan platform International Greentech & Eco Products
Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 9 Okt ini.

 

"Sebagai hub teknologi hijau terbesar di Asia Tenggara, IGEM ialah platform terbaik bagi kedua-dua negara untuk memacu pelaburan dalam ekonomi kitaran dan penyelesaian rendah karbon," menurut kenyataan itu.

 

Pertemuan itu turut menyentuh persediaan kolaborasi bersama National Biodiversity Authority berkaitan kerangka Akses dan Perkongsian Faedah (ABS) serta perkembangan Rang UndangUndang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun ini.

 

Malaysia dan India kekal komited untuk memastikan rantaian bekalan mineral yang berdaya tahan dan usaha pemuliharaan alam sekitar yang inklusif demi kemakmuran bersama di rantau ini. - DagangNews.com